KUALA LUMPUR – Mana-mana individu yang memiliki sekurang-kurangnya 15 gram (g) dadah jenis syabu bakal berdepan dengan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebatan jika disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Menurut Ayob Khan, sebelum tahun 1998, syabu atau nama saintifiknya, methamphetamine hanya dikawal sebagai bahan psikotropik di bawah Akta Racun 1952.
Namun begitu, disebabkan penggunaan syabu atau dikenali sebagai ‘ice’ dilihat menjadi semakin popular dan kesannya yang sangat memudaratkan, dadah tersebut diwartakan sebagai dadah berbahaya dan disenarai di dalam Jadual Pertama ADB 1952 pada 1998.
Kini, setelah lebih 20 tahun syabu diwartakan sebagai dadah berbahaya, trend pengedaran dan penyalahgunaan dadah telah berubah yang mana ‘ice’ menjadi pilihan utama kepada pengedar dan penagih dadah di
negara ini.
Menyedari situasi itu, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) mencadangkan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengkaji semula berat minimum pengedaran syabu daripada 50g kepada 15g.
“Kita perlu mengakui bahawa terdapat kelemahan di dalam undang-undang yang sedang berkuat kuasa.
“Misalnya dalam konteks heroin, pemilikannya dalam jumlah 15g membolehkan seseorang itu dituduh dan dihukum di bawah Seksyen 39B ADB 1952 berbanding syabu dengan berat 50g (dituduh bawah Seksyen 39B), sedangkan dadah yang paling banyak digunakan di negara ini adalah syabu.
“Jadi ia perlu dikurangkan kepada 15g (untuk didakwa di bawah Seksyen 39B ADB 1952),” katanya ketika ditemui Kosmo! dalam wawancara secara eksklusif di pejabatnya di Bukit Aman di sini baru-baru ini.

Menurut Ayob Khan lagi, langkah tersebut dibuat bagi meningkatkan aspek penguatkuasaan terhadap dadah yang telah menjadi musuh nombor satu negara sejak tahun 1983.
Ayob Khan memberitahu, mengikut statistik rampasan dadah, syabu direkodkan paling tinggi dirampas pada tahun lalu iaitu sebanyak 8.2 tan dengan peningkatan sebanyak 127 peratus berbanding pada tahun sebelumnya.
“Ini yang selalu saya tekankan, kita perlu ketegasan. Kalau tidak tegas, benda ini (masalah dadah) tidak habis,” ujarnya.
Mengulas berhubung usaha pihak tertentu untuk ‘menghalalkan’ ganja dan hemp bagi tujuan perubatan, Ayob Khan menjelaskan, terdapat dua jenis ganja yang digunakan iaitu marijuana dikenali sebagai ganja betina dan hemp iaitu ganja jantan.
“Ganja dan hemp mengandungi dua bahan psikoaktif utama iaitu tetrahydrocannabinol (THC) dan cannabidiol (CBD) yang turut disenaraikan di dalam Jadual Pertama ADB 1952.
“Marijuana yang paling banyak digunakan dan mempunyai kandungan THC yang tinggi iaitu 10 hingga 35 peratus, manakala hemp pula mengandungi tidak lebih daripada 0.3 peratus THC.
“Hemp inilah yang banyak digunakan dalam perubatan,” kata beliau.
Tegas Ayob Khan, sebagai badan yang menguatkuasakan undang-undang, pihaknya menjalankan tanggungjawab mengikut peruntukan yang ada.
“Bagi kita (JSJN), selagi undang-undang yang berkuat kuasa memperuntukkan mengatakan pemilikan dan penggunaan ganja serta hemp sebagai satu kesalahan, kita akan tangkap, siasat dan tuduh yang terlibat di mahkamah,” katanya.














