fbpx

WHO sedia bantu Korea Utara perangi Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SIARAN berita di stesen kereta api Seoul memaparkan Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un tampil memakai pelitup muka ketika mengarahkan perintah berkurung di seluruh negara baru-baru ini. – AFP

GENEVA – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memaklumkan bahawa agensi itu komited dalam membantu Demokrat Republik Rakyat Korea (DPRK) berdepan gelombang sulung Covid-19 di negara itu, lapor akhbar Saudi Gazette, kelmarin.

WHO mengeluarkan kenyataan itu selepas Korea Utara mengesahkan bahawa berlaku penularan besar-besaran di negara itu pada Khamis.

Agensi itu berkata pihaknya sedang berhubung dengan pihak berkuasa di DPRK tetapi masih belum menerima laporan rasmi daripada kementerian kesihatan negara itu.

Wakil WHO ke Korea Utara, Edwin Salvador berkata bahawa agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) itu telah membantu negara itu dalam membangunkan pelan kesiapsiagaan dan tindak balas nasional terhadap Covid-19.

Sebelum ini, media kerajaan Korea Utara melaporkan bahawa satu kes jangkitan Omicron telah dikesan di ibu negara Pyongyang.

WHO dengan kerjasama beberapa rakan kongsi termasuk Tabung Kanak-kanak PBB (UNICEF) dan pakatan vaksin, GAVI juga telah membantu Korea Utara dalam membangunkan pelan penggunaan vaksin Covid-19.

Skim berkenaan telah disemak dan diluluskan oleh badan berbilang rakan kongsi di peringkat serantau dengan inisiatif pengagihan vaksin COVAX.

WHO kekal komited untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa negara DPRK dengan memberikan maklumat yang diperlukan mengenai vaksin Covid-19 yang tersedia menerusi COVAX.

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, telah mengisytiharkan wabak Covid-19 yang kali pertama diumumkan di negara itu sebagai bencana besar selepas melaporkan 21 lagi kes kematian.

Media kerajaan berkata 174,440 orang baru dikesan dengan simptom demam setakat kelmarin ketika negara itu bergelut untuk memperlahankan penularan Covid-19 dalam kalangan penduduknya yang tidak divaksin.

Korea Utara mengumumkan  524,440 dikesan bergejala selepas penyebaran virus sejak akhir April. Ia berkata seramai 280,810 penduduk lagi kekal dalam proses kuarantin.

Namun begitu, media kerajaan tidak menyatakan secara khusus berapa jumlah kes demam dan kematian yang disahkan sebagai kes Covid-19.

Jong-un bagaimanapun meluahkan keyakinan bahawa penduduk Korea Utara boleh mengatasi penularan wabak maut ini dalam tempoh yang sangat singkat.

“Kita akan mengikuti model pencegahan virus Covid-19 seperti yang dilakukan di China iaitu penutupan penuh semua sektor dan sasaran sifar Covid.

“Parti Komunis China telah membuktikan bahawa pencegahan dan kawalan ketat memberi manfaat kepada rakyatnya sepanjang memerangi Covid-19” katanya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI