fbpx
SINDIKET akan menghubungi orang ramai secara rambang sebelum menyamar sebagai pegawai LHDN semata-mata untuk mewujudkan ketakutan kepada mangsa.

Mudah panik punca ditipu ‘LHDN’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Sifat mudah panik dikesan sebagai punca utama mengapa masih ada individu menjadi mangsa peni­puan kepada sindiket penipuan Macau Scam walaupun pelbagai hebahan telah dilakukan pihak berkuasa.

Lebih membimbangkan apabila sindiket ini juga semakin bijak menggunakan nama agensi-agensi tertentu termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk memperdaya orang ramai.

Berdasarkan tinjauan, sindiket ini juga akan mengambil peluang menghubungi mangsa ketika mereka sibuk menguruskan pentaksiran masing-masing menerusi sistem e-failing.

Pengarah Pejabat Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Ranjeet Kaur berkata, sindiket biasanya menggunakan teknik spoofing iaitu menggunakan nombor te­lefon sama seperti dimiliki agensi itu untuk memperdaya mangsa.

Sebagai contoh katanya, nombor telefon rasmi LHDN Cyberjaya ialah 03-8313 8888, namun nombor sama akan tertera di telefon bimbit mangsa apabila mereka dihubungi scammer.

“Jika mangsa semak nombor itu, mereka akan percaya, namun ia sebenarnya adalah spoofing,” katanya.

 Mudah panik punca ditipu 'LHDN'

Ranjeet berkata, kebiasaan­nya mangsa akan dihubungi melalui mesej, panggilan telefon, surat atau e-mel berhubung pembayaran tunggakan cukai mereka.

Menurutnya, mangsa kemudian akan diperdaya untuk memindahkan wang tersebut ke dalam akaun bank yang bukan milik LHDN.

“Mangsa juga dihubungi oleh sindiket yang mendakwa sebagai pegawai LHDN atau pegawai polis atau pegawai dari agensi penguatkuasaan yang lain.

“Mangsa ini akan diarahkan untuk memuat turun aplikasi mudah alih palsu didakwa milik Bank Negara Malaysia (BNM).

“Tujuannya ialah untuk membantu mangsa memindahkan semua wang yang mangsa ada ke dalam akaun sementara bagi mengelakkan semua wang tersebut dibekukan dalam akaun bank milik mangsa,” jelasnya.

Tambahnya, memandangkan musim e-Filing telah bermula pada 1 Mac 2022, para pembayar cukai akan mengisytiharkan pendapatan mereka kepada LHDN dan mungkin mereka akan memperolehi bayaran balik cukai terlebih bayar jika ada.

“Melihat kepada situasi ini, ia juga boleh membuka peluang kepada sindiket untuk menipu orang awam terutamanya pembayar cukai,” katanya.

Dalam hal ini, katanya, modus operandi yang biasa digunakan oleh sindiket itu ialah mereka akan menghubungi pembayar cukai secara rawak dengan menawarkan mangsa proses bayaran balik cukai dengan pantas.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ko­mersial Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, sejak tahun 2019 hingga Februari lalu, sebanyak 6,855 laporan berhubung aktiviti sindiket itu telah diterima melibatkan kerugian lebih RM403 juta.

“Pada 2019 sebanyak 2,466 laporan kes penipuan dilaporkan membabitkan kerugian lebih RM121 juta, manakala pada tahun 2020 pula sebanyak 2,247 laporan dengan kerugian mencecah RM172.7 juta.

“Tahun lalu pula sebanyak 1,585 laporan dengan kerugian sebanyak RM84 juta,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN