fbpx

Hujan terlampau lebat dan sungai cetek punca banjir Janda Baik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan sebuah rumah yang rosak akibat kejadian banjir di Janda Baik semalam.

BENTONG – Hujan lebat ditambah keadaan sungai yang cetek dikenal pasti antara faktor yang menyebabkan berlakunya banjir di Janda Baik di sini semalam.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, berdasarkan rekod menunjukkan berlaku hujan terlampau lebat di kawasan itu sehingga mengakibatkan berlakunya limpahan air daripada sungai berhampiran.

“Ianya juga lanjutan daripada keadaan sungai yang telah cetek disebabkan banjir besar pada 17 Disember tahun lalu.

“Cerapan data stesen hujan di Kampung Janda Baik menunjukkan bahawa taburan hujan awal pagi hari kejadian di kawasan tersebut ialah sebanyak 19.5 milimeter (mm) dalam tempoh tiga jam berbanding kadar taburan normal hujan di bawah 10 mm,” katanya di sini hari ini.

Hari ini Kosmo! melaporkan sebanyak 140 buah rumah melibatkan hampir 1,000 penduduk di empat buah kampung di sekitar Janda Baik di sini terjejas teruk selepas pusat pelancongan popular itu ditenggelami air dalam kejadian banjir mengejut awal pagi semalam.

Kejadian kira-kira pukul 5.30 pagi itu membabitkan semua kampung di situ termasuk Kampung Janda Baik, Kampung Cheringin, Kampung Sum Sum dan Kampung Chemperuh dengan air sungai melimpah ke kawasan darat.

Paling terjejas adalah pengusaha resort dan chalet di sepanjang sungai di kawasan berkenaan apabila premis mereka mengalami kerosakan akibat air deras.

Bencana terbaharu itu berlaku kurang lima bulan selepas kawasan berkenaan dilanda banjir besar pada penghujung 2021 yang menyaksikan penduduk dipindahkan dan banyak harta benda rosak.

Dalam pada itu Wan Rosdy berkata, tindakan segera dilakukan bagi membantu mangsa banjir terkesan termasuklah pengagihan awal sebanyak 500 pek makanan dan bantuan lain.

Katanya, bagi membantu kerja-kerja pasca banjir termasuk pembersihan rumah, Sukarelawan Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP) khususnya daripada Bentong akan melakukan gerak kerja secepat mungkin.

“Ketika ini kerajaan negeri dan agensi yang terlibat sedang memberi tumpuan khusus kepada operasi penyaluran bantuan kepada mangsa banjir.

“Saya berharap agar semua mangsa yang terlibat tabah mendepani ujian ini. Insya Allah kerajaan negeri akan membantu semua yang terkesan denagn sehabis baik,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI