fbpx

UMNO, Pas Selangor tidak bertembung walau MN terkubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noh (dua berdiri dari kanan) dan Ahmad Yunus (tiga berdiri kanan) semasa menyantuni penduduk Tanjong Karang yang hadir rumah terbuka Aidilfitri, hari ini.

KUALA SELANGOR – UMNO dan Pas Selangor akan mengambil pendekatan tidak akan bertembung satu sama lain pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) walaupun Muafakat Nasional (MN) terkubur.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, ini ekoran kedua-dua parti tersebut adalah pembangkang di Selangor berbanding negeri lain.

“Kalau tidak dapat declare (isytiharkan) MN sekalipun, sekurang-kurangnya di Selangor akan susun bahawa UMNO dan Pas tidak akan bertembung.

“Kalau UMNO bertanding di Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) kena ada Pas dan sebaliknya dan elak bertembung satu sama lain,” katanya pada sidang akhbar dalam majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Tan Sri Noh Omar di Tanjong Karang, hari ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr.Ahmad Yunus Hairi.

Noh yang merupakan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi memberitahu, pihaknya berharap tindakan mereka itu akan mendapat restu daripada pucuk pimpinan parti masing-masing.

Jelas beliau, pembahagian kerusi juga telah selesai antara UMNO dan Pas Selangor sebelum tertubuhnya Perikatan Nasional (PN).

“Kita menyasarkan sekurang-kurangnya memenangi lebih 30 kerusi dalam PRU-15 nanti,” katanya.

Sementara itu, Ahmad Yunus berkata di Selangor, musuh politik Pas dan UMNO adalah Pakatan Harapan (PH).

“Realitinya PRU-14, UMNO ada pengundi asas sendiri dan begitu juga Pas. Kebersamaan dan muafakat ini kalau ditunjukkan kepada rakyat, kita boleh jatuhkan PH. Kalau bertembung tiga penjuru, tidak akan ke mana,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Pas bersedia bertembung dengan Bersatu di Selangor kalau pertandingan dua penjuru, beliau menjelaskan perkara itu adalah keputusan pimpinan tertinggi parti itu.

“Dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ini telah didaftarkan sebagai PN. Apapun, saya ingat senario politik pada hari ini adalah macam-macam gabungan dan itu keputusan peringkat tertinggi,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI