fbpx

Raya terkejut, cerita bahagia sambut raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN/PUQTRA HAIRRY

AIDILFITRI 2022 yang penuh makna.

Bermula dengan pengumuman raya Ahad lalu, kisah #rayaterkejut tidak pernah lekang di bibir semua orang.

Perancangan ramai untuk pulang ke kampung pada hari Isnin bertukar kelam kabut sebaik sahaja diumumkan tarikh berkenan adalah Hari Raya Aidilfitri.

Maka berbondong-bondonglah golongan perantau meredah malam Ahad biarpun kepenatan untuk pulang ke kampung halaman.

Keadaan itu menyebabkan setiap inci ruang di lebuh raya dipenuhi kereta yang berhenti selain di hentian rehat dan rawat (R&R) untuk merehatkan badan.

Kompleks beli-belah dan pasar raya tidak kurang hebat apabila orang ramai menyerbu untuk membeli kelengkapan Aidilfitri yang masih tidak cukup.

Ibarat tsunami, habis baju dan kasut berselerakan. Selain balas dendam raya, pengeluaran RM10, 000 juga mencabar pengguna untuk berbelanja berhemah.

Bagi yang bekerja, situasi lebih sukar apabila perlu bertugas lebih masa, malah ada yang sepatutnya cuti terpaksa bekerja kerana #rayaterkejut.

Belum lagi kisah baju tak siap, tauke lemang bekerja hingga pagi raya menyiapkan tempahan dan peniaga barang basah buka kedai selepas pengumuman raya.

Situasi berkejaran ke pasar dan gotong-royong memasak hingga subuh pastinya mewarnai setiap rumah yang menyambut Aidilfitri.

Kisah seorang isteri mengajak orang ramai mengunjungi sebuah pasar bagi membeli 1,000 ekor stok ayam yang dijual suaminya turut meruntun hati netizen.

Sifat rakyat Malaysia yang maha baik hati dan pemurah membantu golongan peniaga daripada terus menanggung kerugian.

Penulis pasti ada rumah yang tidak sempat menyediakan juadah rendang, lontong mahu pun nasi impit kerana bahan mentah masih di pasar.

Inilah momen istimewa yang berlaku pada tahun ini.

Situasi sukar ini bukan malapetaka, sebaliknya sebuah kenangan indah selepas dua tahun tidak dapat beraya.

Kisah yang pastinya mencuit hati.

Tidak mengapa, ciptalah sebanyak mana kenangan agar setiap dari kita tidak berasa seksa kehilangan insan tersayang.

Hari ini merupakan hari kelima kita menyambut raya, sepanjang tempoh ini ada kisah ibu kehilangan anak, suami kematian isteri, anak-anak menjadi yatim piatu.

Sejumlah 1,650 kes kemalangan jalan raya dengan 76 kematian dicatatkan di seluruh negara dalam tempoh empat hari sejak Op Selamat 18 dilancarkan pada 29 April lalu.

Angka ini tidak seharusnya ditambah. Di saat keterujaan menziarahi kaum keluarga, kepulangan perantau ke ibu kota yang pastinya menyaksikan kesesakan luar biasa menuntut kesabaran yang cukup tinggi.

Usah diikutkan amarah diri, jangan dilayan lapar di perut dan ajakan beraya, sebaliknya memandulah dengan fikiran tenang dan penuh kesabaran agar setiap dari kita tidak perlu berasa kehilangan lagi.

Raya tahun ini ramai yang meraikan tanpa insan tersayang kerana Covid-19 dan janganlah kita tambah dengan kematian akibat kemalangan ketika beraya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI