PONTIAN – Situasi banjir di daerah ini bertambah buruk apabila 31 keluarga dari tiga buah kampung melibatkan seramai 168 mangsa dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Bencana Daerah Pontian ( JBDP ), mangsa yang terjejas melibatkan penduduk dari Kampung Seri Gambut seramai 19 orang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Melayu Raya.
“Turut dipindahkan seramai 117 mangsa dari Kampung Jasa Sepakat yang ditempatkan di SK Seri Bunian dan 32 orang mangsa dari Kampung Seri Bukit Panjang ke SK Seri Bukit Panjang
“Semua mangsa telah berpindah ke PPS malam tadi berikutan hujan lebat pada pagi semalam yang menyebabkan air dari sungai berhampiran melimpah ke rumah-rumah kediaman mereka,” kata kenyataan pagi ini,”kata kenyataan itu.
Beberapa agensi kerajaan terlibat dalam proses pemindahan mangsa serta urusetia di PPS termasuk Pejabat Daerah Pontian, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
“Turut sama terlibat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kerja Raya (JKR), pihak berkuasa tempatan (PBT), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Penghulu Mukim dan Ketua-Ketua Kampung,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.














