fbpx

Mangsa buli boleh hidap sakit mental

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEJADIAN buli di sekolah bukan sahaja berlaku dalam kalangan murid lelaki tetapi turut melibatkan murid perempuan.
HARRITH HISHAM,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BIARPUN baru sebulan negara beralih ke fasa peralihan endemik dengan pembukaan sektor ekonomi serta sekolah secara sepenuhnya, namun pelbagai isu tidak enak didengari.

Salah satunya, kes buli membabitkan 13 pelajar sekolah menengah di Kedah yang berlaku minggu lalu.

Kejadian itu ternyata mendatangkan kemarahan semua pihak yang mahu pelaku mendapat hukuman atas tindakan mereka.

Meskipun gejala buli ini bukanlah suatu perkara yang baharu, namun masalah moral tersebut dilihat seakan-akan tidak pernah surut, malah semakin menjadi-jadi seperti tiada yang mengambil pengajaran daripada kes-kes terdahulu.

Si pelaku bukan sahaja boleh digantung dan dibuang sekolah, malah turut berpotensi dikenakan tindakan termasuk denda dan penjara sekiranya kritikal.

Hanya disebabkan terikut-ikut kawan dan perasaan ingin mempunyai pengaruh akhirnya memakan diri sendiri sekali gus mencacatkan imej sebagai seorang pelajar dan individu.

Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhid­matan Sumber Manusia, Universiti ­Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berkata, kejadian buli tersebut bukan sahaja memberi kesan kepada si pelaku, malah turut memberi kesan mendalam kepada kepada mangsa sepanjang hidup.

“Menurut kajian, lebih 85 pe­ratus mangsa buli terpaksa menderita kesan psikologi dan emosi dalam jangka masa panjang selain menghidapi penyakit berkaitan dengan tekanan dalam kehidupan.

“Walaupun si pelaku diberikan hukuman, denda dan sebagainya, namun si mangsa masih terpaksa menanggung derita dan trauma akibat perbuatan ber­kenaan,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurutnya, masalah buli perlu dikawal segera kerana dikhuatiri akan menyebabkan masalah mental yang berpanjangan seperti tiada keyakinan diri, merendah diri dan mengakibatkan prestasi pembelajaran, pekerjaan atau sosial turut merosot.

“Untuk mencegah masalah buli, kanak-kanak atau remaja perlu memberitahu atau melibatkan orang dewasa jika masalah berkenaan wujud. Ini kerana, kebanyakan pelaku terlibat dalam kegiatan ini disebabkan masalah peribadi dan sikap diri sendiri yang dipengaruhi oleh persekitaran sosial yang tidak baik.

“Jadi ibu bapa perlu latih anak-anak supaya berani menyatakan apa yang berlaku kepada mereka. Medium penyampaian juga boleh dipelbagaikan seperti telefon, nota atau orang tengah seperti kaunselor,” ujarnya.

Selain itu, katanya, pihak sekolah juga wajar dan perlu memainkan pe­ranan selain menyediakan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani masalah dan isu buli di sekolah.

“Selain tidak boleh berkompromi, pengawasan sepanjang masa juga perlu diambil perhatian memandangkan isu ini bukanlah suatu perkara kecil kerana boleh membawa maut.

“Pihak sekolah juga perlu mempertimbangkan untuk ­me­nubuhkan satu jawatankuasa khusus bertujuan meningkat ­kesedaran dalam kalangan kanak-kanak dan remaja,” katanya.

Tambah Siti Fatimah, sekira­nya masalah tersebut tidak diambil perhatian dan dipandang sepi oleh pihak berkaitan, sewajarnya ibu bapa boleh terus membuat laporan kepada pihak polis dan memajukan kepada Kementerian Pendidikan (KPM) bagi memastikan keselamatan anak-anak.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

RSS Error: WP HTTP Error: cURL error 28: Operation timed out after 10001 milliseconds with 0 bytes received