fbpx
SETIAP kali lebaran, gadis ini merindui kenangan merayakan hari mulia itu bersama arwah datuk dan neneknya satu ketika dahulu.

Gadis Kampus: Buat duit hasil ilustrasi digital raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali tiba Hari Raya Aidilfitri, gadis berusia 21 tahun itu pasti terkenangkan memori indah bersama arwah datuk dan neneknya yang telah kembali ke dunia abadi.

Hafizah Nazirah Pirdaus sentiasa merindu belaian dan kasih sayang daripada datuk dan neneknya pada pagi 1 Syawal ketika seluruh ahli keluarga berkumpul beramai-ramai.

Salah satu memori yang sentiasa dikenang adalah saat dia dan sepupunya berbaris panjang untuk bersalaman sambil memohon kemaafan serta menanti pemberian duit raya.

Ceritanya, masing-masing sanggup melakukan apa sahaja yang disuruh datuk dan nenek semata-mata ingin mendapatkan duit raya lebih banyak berbanding orang lain.

“Setiap kali tibanya hari raya, memori yang saya akan ingat adalah saat bersalaman dengan datuk dan nenek. Mereka akan minta kami cium pipi jika mahu duit raya lebih banyak.

“Selepas ketiadaan mereka, suasana pada pagi raya sudah jadi lain. Meskipun begitu, hari raya tetap disambut meriah termasuk berkunjung ke rumah saudara-mara di Perak dan Melaka,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! baru-baru ini.

Selain itu, ketibaan Syawal membawa khabar gembira kepada gadis kelahiran Ampang, Selangor itu kerana dia berpeluang menjana pendapatan sampingan daripada bakat yang dikurniakan kepadanya.

Jelas Hafizah Nazirah, dia mempunyai bakat terpendam sebagai pelukis digital dengan menggunakan aplikasi Procreate yang terdapat dalam peranti Ipad.

Dia menambah, permintaan menghasilkan lukisan digital biasanya akan meningkat ketika Syawal apabila ramai yang ingin mengabadikan kenangan gambar mereka dalam bentuk ilustrasi.

“Apabila tiba raya, banyak permintaan terutamanya daripada rakan-rakan yang ingin mengilustrasikan potret mereka bersama keluarga pada 1 Syawal.

“Lukisan yang terhasil akan dibingkaikan atau dimuat naik di dalam media sosial. Biasanya, satu potret saya caj RM20 sahaja, ia jauh lebih murah berbanding khidmat daripada profesional.

“Namun begitu, saya masih mampu menjana pendapatan sampingan sekitar RM300 sepanjang Syawal. Pada masa sama, saya dapat membina portfolio sebagai pelukis digital,” terangnya.

CONTOH lukisan digital yang dihasilkan Hafizah Nazirah.

Mengulas mengenai minatnya dalam dunia seni, Hafizah Nazirah memaklumkan, sejak kecil lagi dia gemar melukis dan mewarna untuk mengisi masa lapang di rumah.

Ujarnya, selepas melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya (UM), dia mula terjebak dengan lukisan digital selepas membeli sebuah Ipad pada tahun lalu.

“Ipad ini pada mulanya saya beli untuk memudahkan urusan sepanjang menuntut di UM. Selepas menggunakannya, saya tertarik pula menggunakan aplikasi melukis.

“Dari situlah, minat saya terhadap lukisan digital bermula. Daripada suka-suka, kini saya menerima banyak permintaan menghasilkan lukisan digital terutamanya daripada rakan-rakan.

“Kerja-kerja ini saya lakukan pada waktu malam. Biasanya, sebuah lukisan digital mengambil masa sekitar tiga hingga lima jam untuk disiapkan,” ujar anak keenam daripada lapan beradik itu.

Sebagai penuntut Ijazah Sarjana Muda Pengajaran Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua, Hafizah Nazirah cukup aktif dalam dunia kesukarelawanan.

Sejak tiga bulan lalu, dia telah berkhidmat sebagai ketua sukarelawan bagi Projek Pearl yang memberi pendidikan bahasa Inggeris secara percuma kepada kanak-kanak kurang berkemampuan.

“Sebagai sukarelawan projek Pearl, saya berpeluang mengaplikasi pembelajaran di dalam dewan kuliah kepada kanak-kanak ini. Biasanya, pada tahun keempat, baru saya dapat peluang mengajar.

“Tetapi menerusi kerja sukarelawan ini, pada tahun kedua saya sudah dapat pengalaman sebagai tenaga pengajar. Ia membolehkan saya mengetahui suasana pembelajaran ketika itu,” katanya.

Walaupun sibuk dengan aktiviti harian, namun Hafizah Nazirah sama sekali tidak melupakan tanggungjawabnya sebagai seorang mahasiswa.

Justeru, dia perlu bijak membahagikan masa bagi memastikan penglibatan sebagai sukarelawan dan minat melukis tidak menjejaskan tumpuan pembelajaran.

POPULAR