fbpx

Kereta ahli perniagaan dipecah di tanah kubur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar memaparkan keadaan kereta tersebut

KLANG – Malang menimpa seorang ahli perniagaan apabila kereta Toyota Estima miliknya tular dipecah penjenayah ketika menziarahi pusara ahli keluarganya di Tanah Perkuburan Islam Lipat Kajang di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu mengakibatkan lelaki berusia 61 tahun kehilangan beg galasnya yang turut mengandungi wang berjumlah RM6,500.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, ketika kejadian pemilik sebuah syarikat itu meletakkan kereta dalam keadaan berkunci di kawasan tanah perkuburan berkenaan pukul 9 pagi.

Katanya, mangsa yang mahu pulang bagaimanapun terkejut mendapati cermin bahagian pemandu sudah pecah.

“Pemeriksaan mendapati beg galas mangsa mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, buku cek dan wang hilang.

“Kejadian itu disedari anak mangsa yang mendakwa ternampak individu bermotosikal berlegar di kawasan berkenaan dan disyaki memecahkan cermin kereta tersebut,” katanya dalam  kenyataan hari ini.

Jelas Hoong Fong, siasatan mendapati suspek disyaki seorang lelaki menunggang Yamaha RXZ yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya.

“Mangsa bersama keluarganya ke lokasi kejadian bagi melawat kubur arwah ibu bapa dan sanak saudara.

“Ketika kejadian tiada penggera keselamatan kereta berbunyi dan wang yang hilang merupakan milik mangsa untuk kegunaan persiapan Aidilfitri,” ujarnya.

Difahamkan, jarak antara kereta itu dengan tanah perkuburan berkenaan kira-kira 100 meter.

Tambah beliau, siasatan lanjut masih diteruskan pihaknya bagi mengesan suspek berkenaan.

Sehubungan itu, Hoong Fong meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat supaya menyalurkannnya di mana-mana balai polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 15 saat memaparkan keadaan cermin kereta Estima itu pecah berdekatan kawasan tanah perkuburan tersebut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI