MENGIMBAU tragedi kemalangan jalan raya yang menimpa dirinya beberapa tahun lalu, Nizam Zulkifli, 34, kini semakin berwaspada ketika memandu.
Kemalangan pada tahun 2018 itu berlaku semasa dia dalam perjalanan hendak pulang ke kampung di Alor Setar, Kedah dari ibu kota.
“Saya telah terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan itu kerana kesilapan saya sendiri.
“Sebaik sahaja habis waktu bekerja, saya bergegas untuk terus pulang ke kampung tanpa berehat terlebih dahulu. Akibatnya saya mengantuk semasa memandu,” katanya kepada K2.
Menurutnya, biarpun mengantuk sewaktu memandu, dia tidak berhenti berehat kerana ingin cepat sampai ke kampung halaman.
Disebabkan rasa mengantuk itu, dirinya hilang fokus untuk memandu dan telah terlanggar kereta yang ada di hadapannya.
Dek perlanggaran berpunca daripada Nizam juga kereta yang ada di belakangnya turut terlibat sama melanggar kenderaannya.
“Saya bernasib baik kerana pemanduan saya ketika itu tidak terlalu laju. Disebabkan kemalangan semasa jalan sesak itu saya mengalami sedikit luka ringan,” ujar Nizam.
Mengambil iktibar daripada kejadian tersebut, kini, Nizam memilih untuk berehat terlebih dahulu dan tidak akan memandu pulang ke kampung dalam keadaan badan yang penat.
“Saya berazam untuk baiki kesilapan lalu dan akan memandu dengan hati-hati,” nekadnya.
Sememangnya tragedi kemalangan pada musim perayaan bukanlah sesuatu yang baharu. Malah, setiap kali tiba musim perayaan pasti akan berlaku kemalangan jalan raya sehingga meragut nyawa.
Apatah lagi, pada tahun ini apabila rakyat Malaysia sudah dibenarkan rentas negeri pulang ke kampung atau menziarahi sanak saudara bagi meraikan Aidilfitri setelah dua tahun tidak dapat melakukannya ekoran pandemik Covid-19. Dijangka 14 juta kenderaan bakal ada di atas jalan raya.

Menempuh perjalanan yang panjang sehingga lebih 10 jam, bahkan pernah merekodkan sehingga 22 jam bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kelantan pada tahun 2019, itu antara cabaran yang bakal ditempuhi.
Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Datuk Dr. Khairil Anwar Abu Kassim berkata, peningkatan jumlah kenderaan yang mendadak di jalan raya pada musim perayaan boleh meningkatkan kesesakan aliran trafik dan secara tidak langsung meningkatkan risiko kemalangan.
Menurutnya, kesesakan yang melampau boleh mempengaruhi emosi pengguna jalan raya untuk bertindak di luar kebiasaan.
“Sebagai contoh, pemandu bertindak menggunakan lorong kecemasan untuk memotong barisan kenderaan atau memandu secara melulu dan agresif.
“Di samping itu, tekanan dan keletihan akibat berada di jalan raya bagi tempoh yang panjang boleh menyebabkan kelesuan dan mengundang pelbagai isu lain yang negatif,” ulasnya.
Khairil Anwar berkata, semua pemandu serta penumpang perlu memastikan mendapat tidur dan rehat secukupnya sebelum memulakan perjalanan.
“Sediakan mental dengan cabaran yang mungkin dihadapi seperti perlu menempuh kesesakan lalu lintas yang lama dan bersedia untuk berhenti rehat beberapa kali mengikut keadaan semasa,” katanya.
Jelas Khairil Anwar, secara umumnya, selepas memandu untuk tempoh tiga hingga empat jam, seseorang pemandu perlu berhenti rehat selama setengah jam bagi mengelakkan kelesuan dan menambah baik kesegaran diri.
Pemandu boleh berhenti seketika di tempat selamat dan regangkan badan dengan teknik regangan ringkas.
Namun, tambahnya, bilangan hentian mungkin berubah sekiranya pemandu mempunyai penumpang yang berkeperluan seperti warga emas dan anak kecil yang mungkin memerlukan beberapa hentian tambahan.
“Memenuhi keperluan fisiologikal mereka untuk membuang air, makan dan minum ini akan membantu pemandu pandu dalam keadaan yang tenang dan fokus. Jadi, buat persiapan perjalanan dengan baik,” katanya.
Tekannya lagi, kelesuan memandu bukan hanya pada fizikal, tetapi juga melibatkan mental pemandu.
“Apabila pemandu sudah terasa bosan, tertekan dan ingin marah, berhentilah dan berehat seketika.
“Pengalihan fokus dan ketenangan 15 hingga 20 minit akan membantu menambah baik kecerdasan kita,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairil Anwar berkata, bukan sahaja pada musim perayaan, malah pada hari-hari lain juga para pemandu haruslah memainkan peranan utama dalam menghindari kemalangan.
Pemandu harus patuhi peraturan dan undang-undang semasa berada di jalan raya, terutama berkaitan kelajuan kenderaan.
Memandu atau menunggang melebihi had laju meningkatkan risiko konflik dan pelanggaran dengan pengguna jalan raya yang lain.
“Sentiasa amalkan sikap bertimbang rasa. Selain itu, pastikan kenderaan yang digunakan diselenggara secara berkala dan memenuhi syarat roadworthiness,” jelas Khairil Anwar.
Menurutnya, faktor manusia diakui merupakan faktor utama berlakunya kemalangan di jalan raya. Dari sudut pencegahan berlakunya perlanggaran di jalan raya, faktor manusia ini perlu dilihat secara holistik merangkumi pengoperasian keseluruhan sistem trafik yang mengandungi elemen jalan raya, pergerakan kenderaan dan pengguna jalan raya itu sendiri.
“Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk menangani kemalangan jalan raya secara umumnya adalah dengan menggunakan pendekatan sistem selamat yang menekankan kebertanggungjawaban bersama dan pengurusan risiko melalui reka bentuk sistem trafik yang mengambil kira kemungkinan pengguna melakukan kesilapan serta menekankan perlindungan berlakunya kecederaan parah dan kematian sekiranya berlaku perlanggaran,” katanya.
Menurutnya, lima elemen utama pendekatan sistem selamat adalah dengan menyasarkan pengguna jalan raya yang selamat, kenderaan yang selamat, kelajuan yang selamat, jalan raya yang selamat dan rawatan pascakemalangan yang berkesan.
Tambahnya, pengguna jalan raya perlu mahir dalam pengurusan risiko kemalangan jalan raya dan sentiasa mengamalkan konsep kebertanggungjawaban bersama demi keselamatan bersama di jalan raya.
Dalam hal ini, pelancaran Pelan Keselamatan Jalan Raya Malaysia 2022-2030 oleh Kementerian Pengangkutan merupakan langkah sangat tepat dan berpotensi besar dalam memacu usaha pihak berkuasa bagi meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia.















