fbpx

Pegangan agama, suara Bella Hadid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BELLA HADID kini bukan lagi duta jenama terkenal Dior apabila dipecat baru-baru ini.

JIWANYA yakin dengan pegangan kukuh dan tanpa kompromi bahawa setiap manusia dalam dunia ini bebas untuk mengamalkan kepercayaan agama masing-masing.

Bella Hadid, sepotong nama glamor di pentas peragaan dan seorang wanita berjiwa besar yang juga percaya bahawa Islam bukanlah agama mempromosi keganasan sepertimana dilabel kebanyakan orang di negara Barat.

Pemilik nama lengkap, Isabella Khair Hadid itu barangkali lazim di mata para peminat dan pemujanya sebagai seorang model yang sering memperagakan tubuh badan dalam keadaan mencolok mata di atas pentas runway.

Ataupun menjadi wajah muka depan majalah terkemuka dunia, namun satu fakta yang mungkin ramai lupa adalah, dia juga merupakan seorang penganut agama Islam.

TIDAK terlalu terbuka berkongsi tentang perihal rohaninya dengan agama Islam, Bella bagaimanapun memaklumkan bahawa dirinya bangga menjadi seorang Muslim.

Teruja Ramadan

Sementelah berpegangan bahawa hubungan dengan Tuhan tidak patut digembar-gemburkan kepada umum terutama melalui media sosial, setiap kali datangnya bulan Ramadan, Bella, 26, tidak pernah gagal mengucapkan ‘Ramadan Kareem’ kepada jutaan para peminatnya.

“Sejak kecil, bapa memang akan ajar kami sambut bulan Ramadan dan Syawal bersama keluarga tersayang. Bagaimanapun, apabila saya dah besar dan mula bekerja, saya tidak berpuasa sangat.

“Bapa saya (Hadid) sangat-sangat teruja menyambut Ramadan dan Syawal. Itulah yang membuatkan saya juga sama berkongsi rasa teruja tersebut dan bersemangat dengan cara hidup seorang Muslim,” katanya dalam satu temu bual bersama majalah terkemuka dunia, Harper’s Bazaar.

Dalam pada itu, Bella juga mendedahkan bahawa bapanya, Mohamed Hadid yang merupakan hartawan kaya-raya merupakan seorang pelarian Palestin ke negara Amerika Syarikat.

“Bapa saya seorang pelarian. Dia datang dari Palestin ke Amerika Syarikat semasa masih seorang bayi.

“Syukur, ketika dia datang ke negara ini (Amerika), keadaan waktu itu memang tersangatlah sukar. Sekarang walaupun kami ada segalanya, keadaan barangkali 100 kali lebih susah.

“Saya berasa sangat sedih melihat orang menjadi tamak disebabkan kuasa dan menyebabkan ramai orang tak dapat meneruskan hidup dengan aman bersama anak-anak dan keluarga tersayang,” sambungnya.

LANTANG bersuara dalam media sosial tentang krisis Palestin-Israel, Bella tidak kisah andai kerjaya peragaannya menerima impak buruk.

Bersuara demi Palestin

Kata Bella lagi, meskipun keadaan sudah berubah, namun stigma kebanyakan orang terutama di negara Barat tentang Islam masih di takuk lama sehingga menyebabkan banyak pertumpahan darah berlaku.

“Satu perkara yang tak masuk akal apabila seseorang dengan mudahnya boleh maklumkan kepada kita sama ada ‘ya atau tidak’ untuk memiliki kehidupan lebih baik.

“Disebabkan asal kami adalah pelarian, Palestin mempunyai satu tempat yang sangat istimewa di dalam hati saya.

“Bapa saya seorang yang sangat warak dan pentingkan ilmu agama. Dia selalu mendirikan solat bersama kami satu keluarga. Saya bangga menjadi seorang Muslim,” jelasnya.

Umum mengetahui bahawa Bella merupakan seorang yang lantang bersuara tentang krisis tidak berpenghujung antara Palestin dan Israel.

Biarpun menyedari bahawa tindakannya akan menyebabkan ‘periuk nasinya’ sebagai seorang model antarabangsa menerima impak buruk, dia tidak kisah asalkan nasib rakyat Palestin dan negara asal usulnya terbela.

“Saya akan terus lantang bersuara demi nasib dan keamanan Palestin. Tunjukkan fakta dan informasi sebenar tentang bagaimana IDF (tentang Israel), kerajaannya dan pendatang negara tersebut menyerang orang Palestin secara melulu dan tanpa sebab.

“Mereka serang orang Palestin hanya kerana menjadi rakyat negara tersebut,” ujar Bella yang berkongsi beberapa pendedahan tentang keganasan dan kerakusan askar Israel dalam Instagramnya yang memiliki lebih 50 juta pengikut.

BELLA berkata, dia akan terus lantang bersuara sehinggakan keamanan dicapai di negara kesayangannya, Palestin dan tentera Israel berhenti membunuh orang yang tidak bersalah.

Tak reka cerita, Israel perlu diajar

Ujarnya, dia bukan sengaja mengada-adakan cerita tentang kezaliman Israel tetapi sudah terang lagi bersuluh siapa sebenarnya yang sewenang-wenangnya melakukan provokasi terutama pada bulan paling mulia dalam kalendar Islam iaitu Ramadan.

“Saya bukan mengada-adakan cerita (tentang kezaliman tentera Israel). Percayalah, saya sendiri tak nak dedahkan benda ini. Ini bukan lakonan tetapi perlu dedahkan kepada dunia perangai sebenar mereka yang sepatutnya melindungi.

“Kalau kalian nak saya berhenti bercakap, mereka patut berhenti membunuh. Kalian boleh lihat sendiri, mereka (orang Palestin) baik-baik dan kebanyakannya hanya menghabiskan masa bersama keluarga, sedang mendirikan solat atau senang cerita, menjalani kehidupan sama seperti orang lain.

“Saya takkan berdiam diri dan hanya duduk menyaksikan nama orang-orang Palestin diburuk-burukkan seperti mereka ada buat salah.

“Penderaan yang sangat tak wajar berlaku sekarang di tanah dan tempat mereka yang sudah didiami sejak beratus tahun lamanya. Terutamanya pada waktu sekarang, Ramadan,” tutur Bella.

MEMBINA nama masyhur di bumi Amerika Syarikat, Bella merupakan antara supermodel paling berpengaruh di dunia dan seorang penganut agama Islam.

Dalam pada itu, menerusi satu muat naik status Instagram berasingan, Bella mendedahkan bahawa bapanya terpaksa meninggalkan Palestin kerana dihalau oleh orang Israel.

“Sejak 1948. Bapa saya dihalau dari rumah dan tanahnya sendiri ketika usia sembilan bulan. Ini bukan tentang agama. Ini juga bukan tentang saya membenci sesuatu atau seseorang.

“Bagi saya, ini tentang hak setiap manusia untuk meneruskan dan menjalani kehidupan. Kerajaan Israel hanya fikirkan tentang politik dan kuasa. Siapa yang dapat manfaat daripada peperangan dan keganasan? Jawapan untuk soalan itu semestinya tidak berpihak kepada rakyat,” getusnya.

BIARPUN sering berpenampilan mencolok mata disebabkan kerjanya sebagai seorang model, Bella sentiasa lantang mengkritik kerajaan Israel dan para konconya yang tidak henti-henti melakukan kerakusan dan kebobrokan di bumi Palestin.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI