fbpx

AS tinggalkan peralatan tentera lebih RM30 bilion di Afghanistan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEJUANG Taliban menggunakan senjata, alat dan pakaian seragam tentera AS ketika memeriksa peralatan yang ditinggalkan tentera Washington di Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul. – CNN

WASHINGTON – Laporan  Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) mendedahkan bahawa peralatan tentera bernilai lebih AS$7 bilion (RM30.5 bilion) yang dibekalkan kepada kerajaan Afghanistan telah ditinggalkan apabila misi ketenteraan AS selama 16 tahun berakhir pada Ogos 2021, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.

Peralatan ketenteraan itu berada di Afghanistan yang kini dikuasai kumpulan Taliban selepas AS gagal mengusir mereka sejak dua dekad lalu. Jabatan berkenaan tiada rancangan untuk kembali ke Afghanistan untuk memusnahkan atau menuntut semula peralatan tersebut, demikian menurut laporan berkenaan yang dikemukakan kepada Kongres.

AS membekalkan peralatan tentera bernilai AS$18.6 bilion (RM81.12 bilion) kepada Pasukan Pertahanan dan Keselamatan Negara Afghanistan (ANDSF) dari tahun 2005 hingga Ogos 2021, jelas laporan sama.

Daripada jumlah itu, peralatan bernilai AS$7.12 bilion (RM31.05 bilion) kekal di Afghanistan selepas AS menamatkan misi ketenteraan pada 30 Ogos tahun lalu. 

Antaranya termasuk pesawat, peluru berpandu udara ke darat, kereta kebal, kenderaan perisai, peralatan komunikasi dan beberapa jenis alat lain, demikian menurut laporan sama.

“Kebanyakan peralatan yang ditinggalkan di Afghanistan memerlukan penyelenggaraan khusus oleh kontraktor Jabatan Pertahanan dalam bentuk pengetahuan teknikal dan sokongan,’’ jelas jabatan berkenaan.

Jabatan itu dikehendaki mengemukakan laporan kepada Kongres AS mengenai pelupusan harta, peralatan dan bekalan yang dibekalkan kepada Afghanistan sama ada dimusnahkan, dibawa keluar atau dikekalkan di negara Asia Selatan itu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI