fbpx

Usah melampau lunas dendam beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan pengurusan jenazah pesakit Covid-19 ketika pandemik dua tahun lalu.

BEBERAPA hari lagi umat Islam bakal menyambut Hari Raya Aidilfitri iaitu hari kemenangan selepas sebulan menahan lapar dan dahaga menunaikan ibadah puasa.

Tidak sekadar kejayaan menunaikan ibadah, rakyat umumnya juga menyambut ‘hari raya’ selepas hampir dua tahun tersekat dengan pelbagai prosedur operasi standard ekoran pandemik Covid-19 yang melanda sejak Mac 2020 lagi.

Pelbagai kepayahan terpaksa dilalui dan bukan sedikit pengorbanan yang ditempuhi sepanjang lebih dua tahun bergelut dengan wabak tersebut. Ada yang kehilangan nyawa, ibu bapa, anak, saudara-mara dan rakan taulan. Ada pula kehilangan pekerjaan, harta benda dan keselesaan kehidupan.

Begitulah adat dunia yang merupakan alam tempat kita semua berpenat dan sentiasa lelah dalam mengharungi kehidupan. Akhirat jua tempat berehatnya. Apa yang penting kita semua sabar dalam menempuhi setiap ujian yang diberikan oleh Allah SWT.

Firman Allah dalam Surah Al-Baqarah ayat 155, ertinya: “Dan sungguh akan Kami berikan ujian kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Ternyata ayat tersebut mempunyai maksud yang amat mendalam betapa setiap orang tidak terlepas daripada ujian dalam kehidupan masing-masing. Tinggal lagi bagaimana cara untuk kita menguruskan ujian tersebut dengan tenang, sabar dan usaha.

Semoga ujian berat yang melanda kita sepanjang pandemik selain sebilangan lagi yang menerima ujian berganda apabila dilanda banjir besar akhir tahun lalu menjadikan kita lebih kuat dan lebih bersedia untuk menghadapi hari-hari mendatang.

Justeru apabila dilimpahi ruang dan peluang untuk bergembira meraikan Syawal seperti sambutan pada tahun-tahun sebelum petaka virus Korona melanda, seharusnya kita penuhi suasana dengan rasa syukur.

Elakkanlah daripada membazir dan menyambutnya dengan amalan melampau kerana kita tidak tahu apa lagi musibah yang bakal kita hadapi pada masa-masa yang akan datang.

Kita kini dalam proses peralihan endemik, juga dalam proses pemulihan ekonomi dan ramai yang baharu kembali bangkit dalam kehidupan mereka selepas musnah dan runtuh sebelum ini.
Semoga berkat semangat Ramadan dan Syawal menjadi sinar harapan untuk masa depan yang lebih gemilang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI