fbpx
William (belakang, kiri) bersama Ahmad Fuzi (belakang, tengah) dan asnaf menerima hadiah pada Majlis Iftar 2022: ‘Asnaf Disantuni’ di Bukit Mertajam, Seberang Perai kelmarin.

Tauke motosikal Cina santuni asnaf Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBERANG PERAI – Seorang pemilik kedai menjual motosikal berbangsa Cina berkongsi rezeki keuntungan dengan menghadiahkan dua buah kenderaan itu kepada asnaf Me­layu.

Pengarah Urusan KB Soon Huat Motor Sdn. Bhd., William Khoo berkata, dia menganggap pemberiannya itu seperti zakat yang akan memberi manfaat kepada asnaf terpilih.

Katanya, dia berbuat demikian kerana boleh dikatakan semua pelanggannya ialah kaum Melayu.

“Jadi, kami hendak pulangkan balik sumbangan kepada mereka yang banyak menyokong kami selama ini dan menganggap pemberian kami ini seperti zakat,” katanya ketika ditemui pada Majlis Iftar 2022: Asnaf Disantuni di Bukit Mertajam di sini kelmarin.

Turut hadir Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.

Menurut Khoo, pemberian itu bermula sejak tujuh tahun lalu sebelum terhenti akibat Covid-19 selama dua tahun.

Tambahnya, setiap tahun dia akan menyediakan dua buah motosikal dan dua basikal selain duit raya kepada semua asnaf.

“Tahun ini ada 30 asnaf dan empat daripadanya menerima hadiah manakala bakinya menerima duit raya RM100 dan barang keperluan yang bernilai kira-kira RM80,” katanya.

Pemilihan asnaf dibuat de­ngan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Te­ngah.

Dalam pada itu, seorang penjual ayam, Roslee Zainol, 48, berkata, motosikal itu akan digunakan untuk mengangkut ayam serta membawa anak-anak ke sekolah.

Bagi sukarelawan, Norzilawati Jaya, 47, pula, pemberian itu ibarat bulan jatuh ke riba kerana sebelum ini motosikal yang digunakan untuk bergerak memberi bantuan sering rosak.

“Pemberian ini saya anggap sebagai rezeki sempena hari raya,” kata ibu kepada enam orang anak itu yang juga merupakan pengurus jenazah wa­nita. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN