fbpx

Rumah Bonda akan ambil tindakan terhadap penyebar maklumat sulit penghuni

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pegawai penguat kuasa Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) ketika menyita Rumah Bonda. -Gambar fail

PETALING JAYA – Pertubuhan Kebajikan Rumah Bonda Kuala Lumpur (Rumah Bonda) akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak-pihak yang menyebarkan maklumat sulit penghuni rumah kebajikan itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pertubuhan itu memandang serius kesemua dakwaan yang ditimbulkan pengguna Facebook ‘Mona Din’ dan ‘Aliff Ahmad’ yang kemudiannya disebarkan secara meluas hingga mendapat reaksi negatif masyarakat awam.

Antara kenyataan yang disebarkan kononnya terdapat kegiatan pemerdagangan bayi dan maklumat sulit penghuni di rumah kebajikan itu didakwa turut didedahkan kepada umum.

Pertubuhan itu percaya maklumat sulit berkenaan telah didedahkan secara tidak bertanggungjawab oleh seorang individu yang merupakan bekas kakitangan rumah perlindungan tersebut.

“Pertubuhan Rumah Bonda dengan ini menegaskan bahawa pada bila-bila masa Pertubuhan Rumah Bonda tidak mengizinkan rekod-rekod sulit bekas penghuni disalahgunakan dan disebarkan sedemikian rupa.

“Pertubuhan Rumah Bonda juga memandang serius percubaan pihak-pihak tertentu yang telah menghubungi dan mengganggu keluarga-keluarga angkat, menyebarkan maklumat dan gambar mereka di media sosial serta mendesak mereka untuk membuat laporan polis palsu dengan mendakwa berlaku kegiatan penjualan bayi di rumah perlindungan Rumah Bonda,” katanya di sini hari ini.

Susulan itu katanya, Rumah Bonda telah merujuk perkara tersebut dengan pihak peguam dan akan mengambil tindakan undang-undang sewajarnya.

“Pertubuhan Rumah Bonda menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tersebut dan menggesa mana-mana pihak yang mempunyai maklumat untuk segera membuat laporan kepada pihak berkuasa agar satu siasatan rasmi dapat dijalankan.

“Pertubuhan Rumah Bonda dan rumah perlindungan Rumah Bonda akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi menangkis dakwaan tidak berasas tersebut,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI