fbpx

Pelajar B40 UiTM ditaja makanan berbuka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PARA sukarelawan mengagihkan makanan untuk berbuka puasa kepada pelajar UiTM Shah Alam daripada golongan kurang berkemampuan semasa program Dari Hati Ke Perut di universiti tersebut baru-baru ini.

MENJALANI kehidupan di kampus terutama di bulan Ramadan bukanlah satu perkara mudah, lebih-lebih lagi bagi pelajar dari keluarga kurang berkemampuan.

Jika berasal dari keluarga berkemampuan atau sederhana, mereka mungkin masih boleh berbelanja di bazar Ramadan untuk menikmati hidangan berbuka puasa.

Namun, bagi pelajar daripada golongan B40 pula, ada antara mereka terpaksa mencari surau dan masjid untuk berbuka dan bersahur.

Menyedari situasi itu, Persatuan Kejuruteraan Awam (PerKA), Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan program Dari Hati Ke Perut bagi membantu golongan berkenaan.

Pengarah program, Mohammad Salleh Mufleh Muhammad Noor Anuar, 21, berkata, idea untuk melaksanakan program tersebut tercetus selepas mendapat tawaran dan kerjasama daripada seorang dermawan dari Singapura, Dr. Zarina Gurrahman.

“Sebelum ini, Dr. Zarina kerap menghantar makanan kepada ayah saya yang juga rakan baiknya untuk diagihkan kepada pelajar-pelajar UiTM yang memerlukan.

“Lama-kelamaan, timbul idea untuk mengembangkan aktiviti tersebut supaya dijadikan satu program yang lebih teratur dan bersasar.

“Oleh itu, PerKA telah dipilih sebagai penyelaras program dengan dibantu beberapa persatuan pelajar lain di UiTM, selain turut mendapat kerjasama daripada pihak UiTM sendiri,” katanya.

MOHAMMAD SALLEH MUFLEH

Mengulas lanjut, Mohammad Salleh Mufleh berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira dua bulan untuk melakukan persediaan termasuk mendapatkan senarai nama pelajar golongan B40 daripada Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) universiti itu.

Katanya, program yang diadakan di Dataran Menara 1, Kolej Pengajian Kejuruteraan itu menyasarkan pengagihan makanan kepada kira-kira 200 pelajar terpilih.

“Setiap minggu, seramai 200 orang pelajar akan dipilih bagi menerima sumbangan makanan untuk berbuka puasa sepanjang bulan Ramadan ini.

“Ini bermakna, seramai 800 pelajar UiTM daripada golongan B40 akan dapat manfaat daripada program ini,” katanya.

DR. ZARINA tersentuh apabila ada pelajar golongan B40 yang mengikat perut dan berbuka puasa secara ala kadar kerana kekurangan wang untuk membeli makanan.

Dalam pada itu, Zarina berkata, beliau sangat tersentuh dengan nasib pelajar golongan B40 apabila ada antara mereka terpaksa mengikat perut dan hanya berbuka puasa secara ala kadar.

Katanya, dia juga sebak bila mendapat tahu ada pelajar bersahur dengan meneguk air kerana ketiadaan wang untuk membeli makanan.

“Ketika hari pertama program agihan makanan ini diadakan, seorang pelajar perempuan datang bertemu saya dan mengucapkan terima kasih kerana telah mengagihkan makanan kepada pelajar kurang bernasib baik sepertinya.

“Ketika itu, hati saya sangat tersentuh apabila dia memberitahu, kerap sakit sejak Ramadan bermula kerana kekurangan wang bagi membeli makanan untuk bersahur, menyebabkan dia hanya mengalas perut dengan air.

“Mendengarnya, saya mula berazam untuk terus membantu pelajar yang senasib dengannya. Diharapkan program Dari Hati Ke Perut ini dapat diteruskan untuk jangka masa yang lebih panjang,” katanya.

Bercerita lanjut, Zarina berkata, sebelum ini, dia memang banyak terlibat dengan program agihan makanan untuk golongan gelandangan di sekitar Lembah Klang dengan mengeluarkan dana sendiri di bawah nama #WeAreOne.

Justeru katanya, dia cuba mengembangkan program kebajikan itu dengan menyediakan makanan kepada gologan pelajar kurang berkemampuan di UiTM terutama sepanjang bulan Ramadan ini.

Kesemua sumbangan tersebut katanya, dimasak dan dibungkus di tempat penyediaan makanan miliknya terlebih dahulu sebelum dihantar ke UiTM untuk diagihkan.

Tambahnya, program agihan makanan itu akan dilanjutkan sehingga 15 Julai depan dan berharap ia dapat teruskan untuk jangka masa lebih panjang bagi membantu lebih banyak pelajar di universiti itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI