fbpx

Manusia tertua dunia meninggal dunia di usia 119 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tanaka meninggal dunia di pusat jagaan warga emas di Jepun pada 19 April lalu di usia 119 tahun. - Knovhov

TOKYO –  Manusia  tertua di dunia, Kane Tanaka, dilaporkan meninggal dunia pada usia 119 tahun pada  19 April lalu di sebuah pusat jagaan warga emas di Jepun, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.

Tanaka yang juga seorang bekas pesakit kanser,  menghabiskan sisa hidupnya tanpa mengamalkan diet sihat, malah dia  sangat menggemari makanan manis dan air berkarbonat terutamanya Coca Cola.

Berdasarkan hantaran di Twitter oleh ahli keluarga Tanaka, mendiang kerap kali keluar masuk hospital akibat sakit tua.

Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik keluarga bagi pihak wanita itu, Tanaka sempat mengucapkan terima kasih atas sokongan ramai pihak kepada dirinya.

“Saya berjaya mencapai usia selanjut ini dengan sokongan hebat daripada ramai orang. 

“Saya harap anda semua akan terus hidup dalam keadaan gembira, bersemangat dan ceria,” tulis ciapan itu.

Tanaka dilahirkan pada 2 Januari 1903 di Fukuoka, selatan Jepun dan merupakan anak ketujuh kepada Kumakichi dan Kuma Ota.

Mendiang dipilih sebagai salah seorang pembawa obor untuk Sukan Olimpik Tokyo 2020 tetapi terpaksa menarik diri kerana dijangkiti Covid-19.

Tanaka mengambil alih gelaran individu tertua di dunia pada Julai 2018 yang menurut wanita itu, merupakan  salah satu detik paling menggembirakan dalam hidupnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI