KUALA LUMPUR – Tiada kata yang dapat menggambarkan perasaan para peniaga di Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) di sini, selain melahirkan rasa syukur apabila perniagaan yang mereka usahakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri membuahkan hasil.
Tinjauan Kosmo! di lokasi perniagaan di Jalan TAR semalam mendapati, rata-rata peniaga mengakui perniagaan mereka tahun ini benar-benar menjadi dan mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Tidak hanya berpuas hati apabila jualan laris hampir setiap hari, para peniaga turut bersyukur apabila pendapatan yang diraih cukup untuk menampung kos modal dan operasi yang dikeluarkan.
Seorang peniaga aksesori pakaian tradisional, Ikmal Hafiz, 29, berkata, permintaan terhadap koleksi songkok dan capal pada tahun ini sangat luar biasa memandangkan pelanggan kini mempunyai kuasa membeli.
Katanya, hasil jualan perniagaan pada peringkat awal sedikit perlahan, namun pendapatan yang diraih meningkat secara mendadak sebaik memasuki pertengahan Ramadan.
“Songkok yang saya jual adalah buatan sendiri yang mana kebanyakan stok adalah daripada tahun lepas yang tidak dapat dijual selepas kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Setakat ini, saya dapat untung besar sebanyak RM120,000,” katanya.
Bagi peniaga kek dan biskut dikenali sebagai Ira, 27, dia menjangkakan permintaan terhadap produknya dijangka terus meningkat pada minggu terakhir Ramadan kali ini.
Katanya, orang ramai akan mula berbelanja terutama untuk membeli kuih raya dan kek pada minggu ini sama ada untuk dibawa pulang ke kampung ataupun untuk majlis rumah terbuka.
“Saya ambil stok biskut daripada pemborong sekitar Kuala Lumpur dan Seremban. Setakat ini, saya mendapat lebih kurang RM2,500 sehari,” ujarnya.














