Oleh AHMAD SHAHERMAN SHAMSURI dan FIRDAUS HANAFI
KUALA LUMPUR – Puluhan ribu pengunjung dari serata negeri, malah dari Singapura menyerbu bazar Aidilfitri dan pusat beli-belah popular yang menjadi tumpuan jualan kelengkapan hari raya di ibu negara semalam.
Mereka bagai ‘melepaskan gian’ untuk membuat persiapan Aidilfitri bagi memeriahkan lagi sambutan kali ini selepas dua tahun tidak dapat beraya sakan akibat pandemik Covid-19.
‘Kebebasan’ yang diberikan kerajaan tahun ini menyebabkan mereka tidak kisah menempuh kesesakan trafik luar biasa dan beratur panjang untuk memasuki gerai serta premis perniagaan.
Antara lokasi yang dibanjiri pengunjung seperti di Lorong Tuanku Abdul Rahman (TAR), sekitar Masjid India, Jalan Chow Kit dan Jalan Bukit Bintang.
Tinjauan Kosmo! di beberapa pusat beli-belah terkenal semalam mendapati, rata-rata pengunjung mula memenuhi pekarangan kompleks itu sejak pukul 8 pagi walaupun ia mula beroperasi sekitar pukul 10 pagi.
Di Kompleks Sogo dan Lorong TAR misalnya, orang ramai mula berada di lokasi itu seawal pukul 8 pagi bagi mengelakkan ketiadaan tempat letak kenderaan dan tidak mahu bersesak dengan pengunjung lain.
Selain itu, ketika tinjauan di dalam Sogo mendapati, hampir setiap tingkat dipenuhi ribuan pengunjung, manakala kaunter pembayaran pula sesak dengan pelanggan sehingga ada yang terpaksa beratur lebih sejam.
Seorang pengunjung dari Seremban yang dikenali sebagai Haliza, 43, berkata, dia bersama keluarganya tiba di Kompleks Sogo kira-kira pukul 8 pagi.
Katanya, mereka sekeluarga menumpang di rumah saudaranya di Wangsa Maju dan datang awal ke pusat beli-belah itu untuk mendapatkan tempat letak kenderaan yang lebih dekat.
“Memang kami tiap-tiap tahun akan datang membeli-belah di Sogo kerana apabila musim perayaan banyak diskaun ditawarkan.
“Selain Sogo, sekitar kawasan ini juga banyak kedai pakaian, jadi senang kami buat pilihan,” kata ibu kepada tiga orang anak itu ketika ditemui semalam.
Seorang pengunjung dari Ampang, Selangor, Mohd. Iqbal Hamdan, 32, berkata, dia dan adik-beradiknya mengambil peluang cuti hujung minggu untuk membeli-belah kelengkapan raya di sekitar Lorong TAR.
Katanya, selepas lebih dua tahun tidak membeli-belah di tempat itu kerana bimbang penularan Covid-19, kali ini dia tidak melepaskan peluang berbuat demikian setelah diberi ‘kebebasan’.
“Di Lorong TAR, semua ada, daripada pakaian sehinggalah makanan seperti biskut raya yang dijual pada harga yang lebih murah berbanding tempat lain,” kata kakitangan swasta sebuah syarikat telekomunikasi.
Sementara itu, ribuan pengunjung termasuk dari Singapura turut membanjiri Pusat Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Jalan Dutamas di sini sempena Festival Gaya Raya.
Festival tersebut berlangsung selama tiga hari secara berterusan untuk tempoh 72 jam tanpa henti dengan lebih 250 kedai untuk dikunjungi.
Seorang pengunjung dari Singapura, Hariri Sam, 25, berkata, pelbagai pilihan barangan kelengkapan hari raya yang ditawarkan pada harga murah terdapat di MITEC.
Disebabkan itu, dia sanggup datang dari jauh semata-mata mahu membeli-belah sempena festival berkenaan.
“Saya sebenarnya rakyat Malaysia dan pernah bekerja di Kuala Lumpur sebelum mencari rezeki di Singapura.
“Jadi, saya juga berpeluang mengeluarkan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan sebahagian wang itu juga saya gunakan untuk membeli-belah.
“Tahun ini, saya rasa hari raya saya bersama keluarga di Singapura pastinya meriah walaupun di perantauan,” ujarnya
Syadatul Ariffin, 24, pula sanggup memandu dari Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur bersama beberapa rakannya untuk mendapatkan kelengkapan hari raya.
“Berbaloi rasanya, sebab pilihan yang ada di sini memang banyak, sampai saya tak tahu nak pilih yang mana,” ujarnya.
Bagi peniaga busana raya di MITEC, Muhammad Aiman, 21, memberitahu, raya tahun ini lebih istimewa berbanding ketika musim pandemik Covid-19.
“Dari segi jualan memang lain sangat, faktor utama mungkin sebab kini pengunjung dibenarkan untuk kembali keluar selepas dua tahun yang terkurung,” katanya.
Sementara itu, bagi seorang peniaga kedai pakaian di Lorong TAR yang mahu dikenali sebagai Hussien, 56, berkata, suasana di sekitar kawasan itu kembali meriah selepas kerajaan melonggar prosedur operasi standard (SOP).
Katanya, ramai peniaga lain juga menarik nafas lega apabila kawasan tumpuan itu kembali ‘hidup’ dan dipenuhi ramai pengunjung.
“Alhamdulillah, sejak awal Ramadan, pengunjung tidak putus-putus mengunjungi kawasan ini, saya sebagai peniaga sangat lega.
“Kawasan ini kembali meriah seperti sebelum pandemik melanda negara yang mana hampir semua kedai dipenuhi pengunjung. Jualan kami juga meningkat lebih dua kali ganda,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE
















