fbpx
SHAKILLA terima takdir jika suatu hari kembali berjodoh dengan Fizi Ali sebagai suami isteri.

Shakilla Khoriri pujuk Fizi demi anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENGAMBIL keputusan untuk bercerai dengan bekas suami, Fizi Ali Disember tahun lalu, pelakon Shakilla Khoriri tidak dapat menahan sebak di dada lalu menitiskan air mata apabila bercakap tentang masa depan anaknya, Ameena Sofia.

Cuba untuk meneruskan kehidupan biarpun tidak lagi menggalas peranan sebagai isteri kepada penyampai radio itu, Shakilla atau nama sebenarnya, Nurul Shakilla Mohd. Khoriri memaklumkan sudah berusaha ‘memujuk’ Fizi untuk kembali bersatu sebagai suami isteri.

Sungguhpun begitu, ternyata ‘luka’ lama menyebabkan perpisahan antara mereka yang tidak ingin diperincikan kepada umum masih berbekas dalam jiwa lelaki itu.

“Kalaulah ada jodoh sekali lagi dengan Fizi, saya memang berbesar hati dan bersikap terbuka. Andai katalah sebab sebelum ini ada dengar kata dia nak kahwin tapi hanya khabar angin sahaja.

“Pun begitu, kalau betul dia nak berkahwin saya tak salahkan dia. Memang seorang lelaki dan memerlukan seseorang untuk jaga dia.

“Tetapi andai kata, satu hari dia tak gembira, saya terima dia balik,” katanya dalam keadaan teresak-esak ketika ditemu bual. Shakilla ditemui Pose pada majlis tayangan perdana program raya Awesome TV 2022 di ibu negara, baru-baru ini.

Ameena matang

Ditanya tentang penerimaan anaknya, Ameena yang kini berusia tiga tahun, pelakon drama rantaian, Saat Kau Takluk Cinta Ini berkata, anaknya sangat memahami keadaan dilalui si ibu bapa.

“Semasa awal-awal berpisah, Ameena macam pelik. Dia tidak melafazkan tapi sebagai ibu, saya dapat rasa dia macam ‘kenapa daddy hantar Ameena tapi balik tak tidur dengan kita?’.

“Why daddy tak sleep sama, mimi?”, itu antara pertanyaan yang diluahkannya. Dia juga tahu tempat tidur saya dan Fizi di rumah. Benda itu sakit tapi saya tak boleh menangis sebab dia kata, tak suka tengok saya nangis.

“Dia sering tanya kenapa saya dan Fizi selalu sedih. Saya tak tahu bagaimana masa Ameena dengan Fizi barangkali dia juga merasakan benda yang sama. Kami bertiga memang sangat rapat. Kami anak-beranak memang banyak sangat momen susah senang bersama,” katanya.

Ujar Shakilla, dia sendiri tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang terjadi, namun percaya, semuanya adalah ujian Allah SWT.

“Bila benda ini terjadi, saya tak nak salahkan mana-mana pihak. Memang salah kami berdua sebagai ibu bapa.

“Saya rasa benda ini, Allah sedang uji kita. Ataupun Allah kata, kita (saya dan Fizi) dijodohkan sebagai kawan.

“Keadaan sekarang ini, saya tak nak tipu Ameena dan dia tak perlu tahu bila dah besar nanti, siapa antara saya dan Fizi yang bersalah.

“Kami dah berbincang tiada siapa salah dan kami berdua berebut-rebut nak bagi yang terbaik buat Ameena.

“Fizi pun sama juga yang dia nak beri terbaik buatnya cuma keadaan terpaksa mengorbankan Ameena dalam perselisihan faham kami berdua,” katanya seraya memberitahu anaknya sangat memahami biarpun masih kecil.

Kayu tiga, tak nak komen

Meminta pencerahan tentang punca sebenar perpisahan dikatakan bertitik tolak daripada dirinya yang bermain kayu tiga, jawab Shakilla:

“Kalau ada yang cakap saya main kayu tiga dan curang dengan suami, saya terus-terang di sini, saya tak nak komen apa-apa.

“Kalau saya keluarkan satu perkataan, benda ini akan mengaibkan ramai orang. Apabila salah intonasi serta perkataan, akan aibkan bukan seorang dua tetapi ramai yang akan tercalit.

“Kalau boleh, saya tak nak ulas dah sebab benda ini pun dah berakhir.

“Saya pun doa yang baik-baik. Kalau jodoh panjang dengan Fizi, saya terima dan kalau tiada dah, saya pun doakan dia jumpa dengan orang lebih baik.”

Sekali lagi bertegas enggan mengulas punca perceraian mereka, kata Shakilla: “Siapa yang salah, siapa yang baik apa semua. Kalau masih nak bercakap, hakimi atau cakap belakang, silakan sebab saya memang tak mampu nak tutup mulut orang.”

POPULAR