Rina

Kerajaan akan kaji keperluan saringan kesihatan mental petugas pusat jagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kerajaan menerusi Jawatankuasa Kabinet Melindungi Golongan Rentan akan mengkaji keperluan untuk melaksanakan Ujian Saringan Kesihatan Mental ke atas pengasuh dan petugas-petugas pusat jagaan.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Harun berkata, langkah tersebut penting bagi memastikan setiap pengasuh mempunyai tahap kesihatan mental yang baik serta tidak cenderung untuk melakukan pengabaian, penderaan dan penganiayaan ke atas penghuni di bawah jagaan masing-masing.

“Menerusi jawatankuasa ini, kerajaan akan meneliti secara menyeluruh isu berkaitan pusat jagaan di negara ini termasuk jagaan kanak-kanak, anak yatim, orang kurang upaya, warga emas, pusat tahfiz dan sebagainya.

“Ia bertujuan merangka pendekatan yang holistik bagi memastikan kebajikan golongan tersebut dilindungi daripada dimanipulasi, pengabaian serta penganiayaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Rina, jawatankuasa itu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan KPWKM sebagai sekretariat diharap dapat mengatasi isu-isu dalam melindungi golongan rentan dan boleh dilaksanakan secara bersepadu dengan penglibatan semua pihak yang terlibat, dan tidak dilihat sebagai tugas kementerian ini sahaja.

“Jawatankuasa ini juga akan melibatkan keanggotaan antaranya seperti Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Kementerian Kesihatan.

“ini kerana setiap perkara adalah saling berkait dan bersangkutan antara tugas dan kuasa satu kementerian dengan kementerian yang lain,” katanya.

Tambah beliau, KPWKM akan membentangkan satu Memorandum Jemaah Menteri bagi melaksanakan penubuhan jawatankuasa tersebut dengan segera.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN