fbpx

Lelaki warga Pakistan maut tersangkut atas pokok ketika paragliding

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota mengambil masa kira-kira 2 jam untuk membawa turun mangsa

HULU SELANGOR – Seorang lelaki warga Pakistan disahkan maut selepas mengalami kecederaan parah akibat terjatuh dari ketinggian kira-kira 12 meter ketika aktiviti paragliding di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu di sini hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Mohammad Farhad Khalid berusia 44 tahun dan berasal dari Subang Jaya.

Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis berkata, mangsa dipercayai telah meninggal dunia ketika tersangkut di atas pokok.

“Kejadian berlaku kira-kira pukul 4.56 petang melibatkan seorang lelaki warga Pakistan berusia 44 tahun yang tersangkut di atas pokok balak dengan ketinggian lebih kurang 12 meter di tepi cerun bukit.

“Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu menghadapi sedikit kesukaran untuk menurunkan mangsa dan terpaksa melalui kawasan hiking sejauh 100 meter dari tapak ‘take-off’ Bukit Batu Pahat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, mangsa pada awalnya berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan mengalami pendarahan serta patah kaki.

“Anggota juga mendapatkan bantuan orang asli untuk memanjat pokok balak tersebut untuk mengikat mangsa dari terjatuh ke tanah.

“Operasi membawa turun mangsa mengambil masa kira-kira dua jam sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dan telah dihantar ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI