fbpx
SWEET QISMINA menghadiahkan adiknya, Farhanna Qisrina sebuah kereta bernilai RM80,000.

Sweet Qismina beli kereta ‘cash’ untuk adik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Sebagai tanda sayang seorang kakak untuk adik kesayangannya, pelakon Sweet Qismina telah menghadiahkan sebuah kereta jenis Polo Volkswagen yang dibeli secara tunai bernilai RM80,000 untuk adik perempuannya, Farhanna Qisrina Supandi.

Sweet atau nama lengkapnya Farhanna Qismina Supandi, 25, ketika dihubungi Kosmo! Online memberitahu, dia memang sudah merancang untuk membelikan kereta untuk adiknya selepas remaja itu menamatkan persekolahan.

“Tak ada sebab lain pun. Sebab adik dah habis sekolah dan perlukan kenderaan untuk ke kolej nanti. Saya pun akan sibuk dengan kerja. Selama ini kalau adik hendak ke mana-mana, saya yang akan hantarkan.

“Adik pun sudah boleh memandu sendiri, jadi selepas ini mudahlah dia untuk bergerak dan membawa ibu bapa keluar berjalan-jalan,” katanya.

Ujar pelakon drama Bidadari Salju itu, kalau ikutkan adiknya yang kini berusia 18 tahun ‘mengidam’ untuk memiliki sebuah kereta berjenama Honda, namun melihat juga pada ‘rezeki’ yang dimilikinya.

“Kalau ikutkan adik mahukan kereta Honda. Tapi saya tidak mahu membelinya kerana belum bersedia (rezeki).

“Alhamdulillah, tahun ini saya ada rezeki lebih. Jadi tidak salah rasanya berkongsi rezeki dengan keluarga,” katanya.

Sebagai kakak, Sweet turut menitipkan pesanan untuk adik bongsunya itu supaya pandai menjaga diri dan tidak melakukan perkara-perkara yang tidak elok selepas memiliki sebuah kereta.

“Kakak mana yang tidak risau. Macam mana mama menjaga anaknya, begitu juga saya sebagai kakak akan menjaga adiknya.

“Saya nasihatkan adik memandu berhati-hati. Jangan bawa kereta ke mana-mana tanpa pengetahuan keluarga. Paling penting jaga diri sendiri,” katanya.

Sekadar info, Sweet merupakan anak keempat daripada lima orang adik beradik tunang kepada pelakon Adam Lee mempunyai dua orang abang dan seorang kakak.

Namun kakaknya, Farhanna Qistina, meninggal dunia pada usia 21 tahun dalam kemalangan jalan raya pagi 1 Syawal pada 18 Jun 2015. – KOSMO! ONLINE

POPULAR