fbpx

Polis tahan pemandu lori bawa arak seludup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar sebuah video yang tular menunjukkan seorang pegawai Kastam melepaskan beberapa das tembakan ke arah sebuah lori yang membawa muatan arak seludup di Iskandar Puteri, semalam.

JOHOR BAHRU – Polis telah berjaya menahan seorang pemandu lori yang cuba melarikan diri daripada ditahan pihak berkuasa kerana dipercayai sedang membawa muatan minuman keras tidak bercukai bernilai RM1.8 juta.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, lelaki berusia 40-an itu ditahan di Jalan Tuas-Lima Kedai, Iskandar Puteri, semalam.

Menurut beliau, terdahulu pihaknya menerima panggilan daripada pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia pada pukul 1.12 tengah hari untuk membantu menahan lori berkenaan.

“Ekoran itu, tiga buah peronda MPV dikejar ke lokasi kejadian sehingga menyebabkan berlakunya aksi kejar sebelum lori berkenaan berjaya ditahan.

“Insiden itu berlaku bermula dari Jalan Danga Bay sehingga sejauh kira-kira 20 kilometer dengan anggaran masa satu jam. Sebelum berjaya ditahan lori berkenaan telah merempuh bahagian belakang salah sebuah MPV polis sehingga mengalami kerosakan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, kejadian itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan terhadap mana-mana pihak sama ada pegawai penguatkuasa mahupun pemandu lori berkenaan.

Sementara itu, Kamarul Zaman turut memberitahu, pemandu lori berkenaan kini dikenakan tahanan reman selama 10 hari bermula hari ini sehingga 1 Mei depan.

“Polis akan bekerjasama dengan Kastam untuk memastikan saki baki ahli sindiket penyeludupan termasuk beberapa kumpulan tonto terlibat dibanteras kerana mereka telah mengancam keselamatan penguatkuasa,” ujarnya.

Tambahnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967; Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 39D Akta Senjata Api 1960.

Difahamkan, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir akan mengadakan sidang akhbar berhubung kejadian berkenaan di Ibu Pejabat Kastam Johor, esok.-KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI