fbpx

Guru HEM direman bersama pengarah teknikal kemuka invois palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Guru HEM (kanan) dan pengarah teknikal ketika dibawa untuk proses reman di Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini.

SHAH ALAM – Tindakan seorang guru penolong kanan hal ehwal murid (HEM) sebuah sekolah dipercayai bersubahat dalam invois palsu kerja-kerja pendawaian elektrik di sekolahnya memakan diri apabila direman tiga hari, bermula hari ini.

Suspek wanita 55 tahun itu direman bersama seorang lelaki berusia 47 tahun yang merupakan pengarah teknikal sebuah syarikat teknologi maklumat dalam tempoh sama bagi membantu siasatan kes tersebut.

Perintah reman terhadap mereka dikeluarkan Majistret Nur Faizah Abdul Sani selepas membenarkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Pada prosiding itu, kedua-dua suspek masing-masing diwakili Peguam Gabriel Susayan dan Samreet Singh.

Sumber berkata, kedua-dua suspek terlebih dahulu ditahan pukul 12.50 tengah hari semalam di SPRM Selangor.

Menurutnya, berdasarkan siasatan awal mendapati pengarah teknikal itu telah mengemukakan invois berjumlah lebih RM83,000 mengandungi butiran palsu kepada sebuah sekolah jenis kebangsaan di negeri ini.

Katanya, invois itu adalah bagi kerja-kerja pendawaian elektrik di sekolah tersebut namun tidak dilaksanakan mereka.

“Perbuatan itu dilakukan bersama suspek wanita yang merupakan guru penolong kanan sekolah tersebut. Kesalahan itu dipercayai dilakukan pada Ogos, 2020.

“Siasatan awal juga mendapati kedua-dua suspek itu tidak mempunyai sebarang hubungan termasuk kekeluargaan,”katanya kepada Kosmo! hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI