fbpx

Mat rempit pamer aksi berbahaya demi ‘view’ tinggi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Polis Johor menjalankan Ops Khas Samseng Jalanan ekoran peningkatan trend mat rempit di negeri ini sejak kebelakangan ini.

JOHOR BAHRU – Trend merempit semakin menjadi-jadi di Johor sejak kebelakangan ini apabila penunggang motosikal sengaja melakukan aksi berbahaya semata-mata sebagai kandungan untuk meraih ‘view’ yang tinggi di media sosial.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Johor, Superintendan M. Kumarasan berkata, antara aksi dilakukan termasuklah lumba haram, wheelie dan Superman selain mengubah suai kenderaan.

Katanya, golongan berkenaan dilihat masih tidak serik walaupun pernah terlibat dengan kemalangan selain telah diambil tindakan sebelum ini.

“Ekoran aktiviti mat rempit semakin menjadi-jadi di Johor kebelakangan ini, kita telah menjalankan Ops Khas Samseng Jalanan bermula 9 April hingga kelmarin.

“Sepanjang tempoh berkenaan, seramai 42 individu telah ditahan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Mereka yang ditahan kesemuanya berusia antara 14 hingga 53 tahun dengan penumpuan khusus diberi terhadap kumpulan motosikal yang melakukan konvoi dan aksi berbahaya lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Kumarasan, dalam tempoh seminggu itu juga, pihaknya telah mengeluarkan sejumlah 2,350 keping saman atas pelbagai kesalahan dengan pemeriksaan dibuat terhadap 12,815 individu melibatkan 10,035 buah kenderaan.

“Daripada jumlah itu, 3,723 buah motosikal telah diperiksa dengan 208 daripadanya telah disita mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI