fbpx

Khimar patuh syariah selesa, mudah digaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JAHITAN pada bahagian muka mudah dibentuk dan digayakan

BERTITIK tolak daripada penghijrahan penampilan dirinya pada tahun 2012, Annuur Nadia Rosli tekad menghasilkan rekaan khimar yang patuh syariah, selesa, mudah digayakan terkini dan tampil elegan untuk membantu wanita Muslimah bergaya anggun mahupun menutup aurat.

Sehubungan itu, tidak hairanlah jenama Elrania Exclusive cukup diminati ramai untuk digayakan ke pelbagai acara, santai ataupun ke pejabat dan juga sebagai persalinan di hari raya.

Elrania Exclusive yang ditubuhkan sejak tahun 2009 dengan menggunakan jenama Rania Boutique and Gallery pada awalnya itu mempunyai kepakaran dalam pembuatan khimar dan kini Annuur Nadia turut dilantik sebagai pereka tudung di Secret Modest.

Khimar boleh didefinasikan sebagai kain yang menutupi aurat wanita dari atas kepala hingga hampir keseluruhan badan dengan potongan sangat labuh berbanding tudung biasa.

Bercerita lanjut mengenai khimar di bawah jenama tersebut, pengasasnya, Annuur Nadia berkata, sehingga kini pihaknya menawarkan 15 jenis rekaan khimar yang merangkumi pemakaian untuk harian sehinggalah kepada gaya mewah.

“Antara koleksi yang popular ialah Ameera iaitu boleh dipakai untuk persalinan harian dengan rekaan ringkas seperti tudung bawal, bahagian mukanya mudah terbentuk cantik dan si pemakai akan tampil lebih kemas.

“Kebanyakan koleksi khimar kami ini menggunakan fabrik sifon yang mana terbentuk cantik, sejuk dan tidak jarang,” kata wanita yang berasal dari Jerteh, Terengganu itu.

Selain itu, Meerwa juga merupakan salah satu koleksi popular jenama tersebut yang ditawarkan dalam satu set iaitu khimar dan dres sedondon agar kelihatan lebih elegan dengan butang bungkus di bahagian tangan.

Turut terdapat perincian zip di bahagian depan yang merupakan signatur Elrania Exclusive untuk memudahkan para ibu menyusu bayi mereka.

“Khimar Meerwa didatangkan dengan rekaan potongan ropol agar si pemakai tampil manis, ayu dan bergaya untuk dipakai sebagai persalinan harian mahupun ke majlis-majlis keraian.

“Istimewanya khimar ini, jahitan di bahagian muka yang membolehkannya senang terbentuk dan sesuai dipakai oleh pelbagai jenis bentuk muka,” ujar ibu kepada empat orang cahaya mata itu.

Selain itu, kolekai Mareena juga tidak kurang menariknya kerana ia direka dengan gaya mewah dan merupakan antara rekaan termahal jenama tersebut serta boleh dibeli di platform Secret Modest atau di butik Elrania Exclusive.

Bagi koleksi Mareena itu, Annuur Nadia menggunakan fabrik sifon dan juga bahagian ropol menggunakan material batik kitar semula yang diletakkan pada tudung serta dresnya.

Inisiatif penggunakan batik kitar semula itu telah mengangkat rekaan tersebut untuk merima anugerah lestari (Sustainable Business Fashion Hub) dari Sustainable Business Network Association Malaysia (SustNet) pada 11 Mac lalu.

“Kami juga menghasilkan koleksi Lili Natasha yang mana merupakan mini telekung dengan rekaan ringkas yang mana koleksi tersebut mendapat sambutan hebat daripada mereka yang ingin menunaikan umrah dan haji.”

“Selain itu, kami turut menawarkan koleksi French Khimar yang diinspirasikan daripada pemakaian khimar dari Perancis dan direka mengikut cita rasa rakyat Malaysia,” tutur anak sulung daripada empat beradik itu.

Di samping menawarkan koleksi khimar, jenama tersebut juga menawarkan pelbagai persalinan Muslimah patuh syariah seperti dres, baju kurung, kardigan dan kurti.

Popularitinya dalam menyediakan persalinan Muslimah patuh syriah telah membuatkan jenama tersebut berjaya menembusi pasaran luar negara seperti Brunei, Singapura, Thailand, United Kingdom dan Qatar.

Orang ramai boleh mendapatkan khimar dan persalinan Muslimah yang lain menerusi pembelian online di Shopee serta di laman Instagram atau berkunjung ke butiknya di Jerteh, Terengganu.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI