KEGHAIRAHAN orang ramai untuk pulang beraya di kampung pada tahun ini semakin meluap-luap selepas dua tahun tidak dapat berbuat demikian ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan bagi mengekang penularan pandemik Covid-19.
Banyak pihak menjangkakan bakal berlaku kesesakan luar biasa di sepanjang lebuh raya-lebuh raya utama terutamanya ke arah Selatan, Pantai Timur dan Utara tanah air.
Dalam hal ini, melalui kolum Wawancara minggu ini, membawakan Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Datuk Zakaria Ahmad Zabidi untuk mengulas pelbagai isu melibatkan penggunaan lebuh raya ketika musim perayaan.
Antara lain, beliau memberitahu bahawa pengendali tol di negara ini sudah bersedia dengan sebarang kemungkinan berikutan perkara itu.
Selain itu, beliau menjangkakan trafik harian pada hari-hari puncak antara 29 April hingga 9 Mei akan meningkat kepada dua juta kenderaan sehari, berbanding 1.6 juta kenderaan pada hari-hari biasa.
SELEPAS dua kali umat Islam di Malaysia dinafikan hak meraikan Hari Raya Aidilfitri di desa bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19, pada tahun ini orang ramai dijangka berpeluang meraikannya bersama sanak-saudara di kampung halaman masing-masing.
Ia selepas kerajaan mengumumkan negara beralih kepada fasa endemik bermula pada 1 April lalu, sekali gus membolehkan orang ramai meraikan kedatangan Syawal secara normal dengan pematuhan prosedur operasi standard ditetapkan.
Justeru, rata-rata perantau terutamanya di kota-kota besar ketika ini sedang menghitung hari untuk pulang raya ke kampung beramai-ramai bagi mengeratkan kembali jalinan silaturahim.
Ekoran itu, pelbagai pihak menjangkakan bakal berlaku kesesakan luar biasa di sepanjang lebuhraya-lebuhraya utama terutamanya ke arah Selatan, Pantai Timur dan Utara tanah air.
Malah, pihak PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menjangkakan sebanyak dua juta kendaraan akan menggunakan lebuhraya pada hari-hari puncak menjelang perayaan Aidilfitri tahun ini.
Hakikatnya, setiap kali tibanya musim perayaan, masalah kesesakan di atas lebuh raya memang tidak dapat dielakkan ekoran peningkatan mendadak trafik dalam tempoh singkat.
Selain kesesakan trafik, musim perayaan turut menyaksi berlakunya peningkatan kadar kemalangan di atas lebuhraya terutamanya melibatkan kehilangan nyawa.
Bagi mengupas isu berkenaan wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop berpeluang menemubual Presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Datuk Zakaria Ahmad Zabidi.
KOSMO! AHAD: Seperti tahun-tahun sebelumnya, jumlah kenderaan di lebuh raya akan meningkat secara mendadak ekoran orang ramai berpusu-pusu balik kampung meraikan hari raya Aidilfitri. Bagaimanakan jangkaan Datuk keadaan pada tahun ini selepas dua tahun umat Islam tidak beraya di desa?
ZAKARIA: Semua syarikat konsesi lebuh raya terutamanya yang mengendalikan perjalanan lebuh raya antara bandar seperti rangkaian Lebuh Raya PLUS, Lebuh Raya Kuala Lumpur -Karak, Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 dan Fasa 2 dan lain-lain syarikat konsesi lebuhraya (termasuk lebuh raya dalam bandar) telah bersedia untuk menghadapi peningkatan jumlah trafik pada cuti perayaan Aidilfitri yang akan datang.
Sebagai contoh, pihak PLUS menjangkakan trafik harian pada hari-hari puncak antara 29 April hingga 9 Mei akan meningkat kepada dua juta kenderaan sehari, berbanding 1.6 juta kenderaan pada hari-hari biasa.
Untuk Lebuh raya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan LPT Fasa 1 pula, pihak Anih Bhd. menganggarkan pertambahan jumlah trafik harian sebanyak 20 hingga 30 peratus dari 29 April hingga 9 Mei 2022.
Bagi LPT Fasa 2 pula, dianggarkan peningkatan jumlah trafik harian sehingga 2.5 kali ganda pada tempoh sama.
Apakah persediaan yang dilakukan pihak konsesi agar perjalanan pengguna lebuh raya sepanjang musim perayaan ini berjalan lancar?
Syarikat-syarikat konsesi lebuh raya menerusi piawaian serta ketetapan yang telah digariskan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) telah bersedia dengan pelbagai pendekatan konstruktif untuk membantu orang ramai menikmati perjalanan yang selamat dan lancar ketika pulang ke kampung serta pulang ke kota selepas Aidilfitri nanti.
Kami juga menjangkakan pada 7 dan 8 Mei nanti sebagai tarikh yang kritikal. Ini kerana, kami menjangkakan orang ramai akan mengambil kesempatan untuk beraya lebih lama di kampung masing-masing dan hanya akan pulang semula ke kota pada penghujung musim cuti.
Apakah saranan yang boleh diberikan oleh pihak Datuk kepada orang ramai yang merancang menggunakan lebuh raya sebagai laluan utama untuk pulang beraya di kampung?
Bagi pihak PSKLM, kami menyarankan agar semua pengguna lebuh raya dapat merancang perjalanan mereka dengan teliti mengikut jadual perjalanan yang dikeluarkan oleh pihak konsesi setiap lebuh raya nanti.
Ia memandangkan pertambahan jumlah kenderaan ini sudah tentu akan menyebabkan berlakunya kesesakan di kebanyakan lokasi, sekali gus boleh meningkatkan lagi risiko berlakunya kemalangan termasuk kehilangan nyawa.

PLUS menjangkakan trafik harian pada masa puncak antara 29 April hingga 9 Mei ini meningkat kepada dua juta kenderaan ekoran ramai pulang ke kampung menyambut Aidilfitri. – GAMBAR HIASAN
Baru-baru ini, isu tentang transaksi sistem teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) hangat diperkatakan umum terutama di media sosial kerana berlaku kesesakan yang teruk di lorong berkenaan berikutan masalah pengesanan pelekat RFID. Bagaimanakan kaedah atau cara bagi mengatasi masalah ini?
Bagi mereka yang telah membuat pemasangan pelekat RFID secara kendiri atau self fitment, pihak PSKLM menyarankan agar mereka dapat lakukan pemeriksaan pelekat RFID di pusat pemasangan tag RFID Touch ‘n Go yang berdaftar.
Ini bagi memastikan pelekat tersebut dipasang dengan tepat dan mengikut piawaian.
Bagi pengguna yang bercadang untuk beralih kepada sistem pembayaran RFID, kami menasihatkan mereka membuat pemasangan di pusat-pusat pemasangan tag itu bagi membolehkan petugas pemasangan memastikan ia dipasang dengan betul dan diuji sebelum digunakan.
Pada ketika ini, terdapat lebih 68 pusat pemasangan tag RFID Touch ‘n Go disediakan di seluruh negara.
Lokasi pusat pemasangan ini boleh diperoleh daripada portal penyedia perkhidmatan RFID.
Sebelum ini, ramai merungut kos pelekat (RFID) yang didakwa mahal iaitu RM35 hingga membebankan pengguna. Apa pandangan Datuk dalam hal ini dan adakah kos tersebut akan dikurangkan bagi mengurangkan beban pengguna?
Harga jualan tag RFID tidak diputuskan atau dikenakan oleh pengendali lebuh raya.
Ia adalah mengikut budi bicara Touch ‘n Go yang merupakan pemilik produk gerbang pembayaran termasuklah kad Touch ‘n Go dan peranti SmartTAG.
Ramai masih tidak yakin terhadap teknologi RFID disebabkan masalah yang berlaku sebelum ini. Sehingga kini, bagaimana sambutan yang diterima terhadap penggunaannya?
Berdasarkan rekod, jumlah pengguna RFID dan transaksi mencatatkan trend peningkatan.
Ia jelas menunjukkan, RFID semakin diterima oleh pengguna lebuh raya di negara ini.
Pada musim perayaan ini khususnya untuk pengguna RFID di lebuh raya sistem tertutup seperti di PLUS, pengguna perlu touch in dan touch out di plaza tol menggunakan lorong mod pembayaran yang sama.
Sebagai contoh, sekiranya mereka memasuki lebuh raya di plaza tol Sungai Besi melalui lorong RFID, mereka juga perlu keluar dari lebuh raya menerusi lorong mod pembayaran yang sama iaitu RFID.
Ini kerana, sistem pembayaran tol RFID dan Touch n Go/Smartag tidak berkongsi platform pembayaran yang sama dan tidak dapat diproses secara seiring.
PSKLM juga menasihatkan pengguna RFID supaya menambah nilai e-Wallet Touch ‘n Go mereka lebih awal sebelum memulakan perjalanan dan memastikan baki cukup untuk melengkapkan transaksi tol mereka.

Ketika musim perayaan seperti Aidilfitri, kadar kemalangan di lebuh raya meningkat saban tahun. Dalam hal ini, apakah yang dilakukan oleh pihak konsesi lebuh raya bagi mengurangkan kadar kemalangan serta kaedah penyuraian trafik sewaktu kejadian?
Pihak syarikat konsesi sentiasa berkolaborasi bersama agensi-agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada musim-musim perayaan.
Ini untuk meningkatkan keselamatan dan melaksanakan penguatkuasaan undang-undang di atas lebuh raya.
Pada masa sama, setiap syarikat konsesi lebuh raya mempunyai pasukan rondaan masing-masing yang akan memantau sebarang aktiviti dan situasi di lebuh raya, di samping menyediakan bantuan kepada pengguna.
Trak tunda atau kembalik juga akan diletakkan dalam keadaan bersiap siaga di lokasi-lokasi strategik yang dikenal pasti.
Ini sudah pasti bagi membantu mempercepatkan proses pengalihan kenderaan yang terlibat dalam kemalangan atau kerosakan di atas lebuh raya.
Akhir sekali, apakah nasihat Datuk kepada orang ramai sebelum mereka memulakan perjalanan balik kampung melalui lebuh raya. Adakah Cadangan Jadual Perjalanan (TTA) seperti tahun-tahun sebelumnya akan dikeluarkan pada tahun ini?
Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk rangkaian Lebuhraya PLUS, KL- Karak, LPT 1 dan LPT 2 juga akan diumumkan sedikit masa lagi untuk membantu pengguna merancang perjalanan mereka pada musim perayaan.
TTA memainkan peranan sangat penting untuk mengelakkan pengguna ke pelbagai destinasi memasuki lebuh raya secara serentak dan terperangkap dalam kesesakan di lokasi-lokasi kritikal di atas jalan serta kawasan rehat.
PSKLM juga ingin menyarankan agar para pengguna menggunakan teknologi seperti Waze dan GoogleMap ketika melakukan perjalanan pulang ke kampung atau kembali ke kota pada musim perayaan ini.
Aplikasi-aplikasi ini membolehkan mereka merancang perjalanan dan mengelakkan kesesakan yang teruk di lebuh raya.
Bagi lebuh raya dalam bandar di sekitar Lembah Klang, berdasarkan trend Aidilfitri lalu, trafik dijangka mencatatkan penurunan memandangkan ramai warga kota pulang ke kampung.
Bagaimanapun, syarikat konsesi lebuh raya dalam bandar tetap menjalankan operasi pemantauan dan kawalan seperti biasa demi keselamatan pengguna.














