fbpx

Tamat MOU kerajaan dan pembangkang, PRU-15 perlu disegerakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Khairuddin.

KUALA NERUS – Memorandum persefahaman (MOU) di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) yang akan berakhir 31 Julai 2022 sebaiknya tidak diteruskan bagi memberi ruang kepada pembubaran Parlimen.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, beliau secara peribadi bersetuju agar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) disegerakan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bebas berkata, ia bertujuan bagi menstabilkan semula iklim politik negara yang agak goyah pada masa ini.

“Keadaan politik yang tidak stabil turut menjejaskan ekonomi (negara). Sukar bagi menteri (Kabinet) untuk membuat perancangan, begitu juga rakyat.

“Secara peribadi, saya bersetuju mandat diberikan semula kepada rakyat dalam keadaan Covid-19 sudah semakin menurun pada masa ini,” katanya ketika ditemui pada majlis Iftar bersama Warga Pendidik Kuala Nerus di sini malam tadi.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara mencadangkan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga naib presiden parti itu sebagai calon Perdana Menteri bagi PRU-15.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, MKT UMNO turut membuat ketetapan MOU di antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan yang berakhir 31 Julai 2022 tidak akan diteruskan lagi.

Dalam perkembangan itu, Mohd. Khairuddin yang mengisytiharkan keluar Pas pada 14 Mac lalu berkata, ketetapan MKT UMNO mencadangkan Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri bagi menghadapi PRU-15 akan memberi kelebihan kepada kerajaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI