fbpx

Kerajaan sasar tubuhkan lebih 500 kedai koperasi di seluruh negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri berucap pada Majlis Pelancaran dan Perasmian Coop Mart di PPA1M Pudina, Presint 17 di sini, hari ini.- Foto FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kerajaan menyasarkan untuk menubuhkan lebih 500 kedai koperasi (Coopmart) di seluruh negara yang akan diusahakan menerusi pelbagai jenis koperasi susulan peranan besarnya kepada Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, sektor koperasi mencatat perolehan sebanyak RM41.47 bilion dengan jumlah keseluruhan anggotanya sebanyak 7.1 juta orang.

“Bersandarkan kepada jumlah keanggotaannya yang besar ini, kerajaan melihat koperasi mempunyai peranannya untuk membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat.

“Gerakan koperasi juga boleh menguasai sebahagian pasaran pemborongan dan peruncitan terutamanya sistem rantaian nilai bekalan barangan keperluan secara pukal melalui ekosistemnya yang komprehensif dan bersepadu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Coopmart dan Perasmian Coop Community Mart Koperasi Pudina Putrajaya Berhad di Perumahan Penjawat Awam, Presint 17 di sini hari ini.

Menurut beliau, langkah sasaran penubuhan itu dapat memastikan manfaatnya dirasai seluruh Keluarga Malaysia terutamanya di kawasan luar bandar dan kawasan yang majoriti golongan B40 selain juga ahli-ahli koperasi, para pengguna dan usahawan yang terlibat dalam rantaian bekalan itu.

“Kedai koperasi ini bukan sahaja membolehkan ahli koperasinya menjana pendapatan melalui dividen malah menawarkan barangan keperluan asas serta pelbagai produk lain kepada penduduk setempat dengan harga yang rendah dan berpatutan.

“Kewujudan Coopmart yang mendapat bekalan langsung daripada pembekal koperasi seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) serta lain-lain pembekal, penduduk setempat menawarkan situasi menang-menang selain membantu meringkankan kos sara hidup,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, sehingga Disember 2021, statistik Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menunjukkan 2,581 buah koperasi sektor pemborongan dan peruncitan telah didaftarkan dengan perolehan melebihi RM820 juta.

“Ini menunjukkan koperasi sektor pemborongan dan peruncitan berpotensi besar untuk dimajukan dan Jika kesemua koperasi sektor pemborongan dan peruncitan bergerak secara proaktif dan bersepadu sebagai satu gerakan, setiap ahlinya juga akan menerima manfaat termasuk peningkatan taraf sosioekonomi dan impaknya sangat besar kepada ekonomi rakyat dan negara.

“Kerajaan pada pembentangan bajet memperuntukkan RM10 juta di bawah Program Transformasi Ekonomi Gerakan Koperasi (Transfer) bagi memulihkan koperasi dan menjalankan aktiviti yang membantu menggerakkan ekonomi negara,” ujar beliau.

Tambah beliau, turut disediakan adalah bantuan menaik taraf infrastruktur koperasi sektor pemborongan dan peruncitan berjumlah RM3.7 juta melalui Kumpulan Wang Covid – Kementerian Kewangan (Pemulih) yang mana sebanyak RM16 juta diperuntukkan kepada koperasi sektor pemborongan dan peruncitan bagi tahun 2021 hingga 2022.

“Suka saya maklumkan bahawa kerajaan di bawah Program Coop Community Mart telah memperuntukkan sejumlah RM360,000 kepada dua koperasi di kawasan Perumahan Rakyat, di mana koperasi Pudina Putrajaya Berhad merupakan salah satu penerima manfaat dan di kawasan Perumahan Rakyat Hiliran Ampang, Kuala Lumpur bagi membangunkan Coopmart.

“Kerajaan juga menyediakan bantuan geran penubuhan koperasi berjumlah RM400,000 dan bantuan Pemetaan Rantaian Bekalan (MOSC) di bawah Pelan Pemulihan Usahawan dan Koperasi Covid-19 KUSKOP sebanyak RM1.12 juta kepada Federasi Koperasi Pemborongan dan Peruncitan Berhad,” jelas beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI