fbpx

Dewan Rakyat: Jenama Keluarga Malaysia telan belanja RM62 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kira-kira RM62 juta dibelanjakan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi penjenamaan kerajaan dibawah pentadbirannya ketika itu yang dikenali sebagai Keluarga Malaysia.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, peruntukan itu dikeluarkan sepanjang Ismail menjadi Perdana Menteri Kesembilan selama 14 bulan bermula Ogos 2021 sehingga November 2022.

Beliau berkata, jumlah itu mewakili lebih 98 peratus daripada keseluruhan RM62,764,107.25 dibelanjakan untuk penjenamaan kerajaan di bawah tiga Perdana Menteri sejak Mac 2020 hingga 30 Januari lalu.

Jelas Armizan, sejumlah RM181,752.20 digunakan untuk penjenamaan Kerajaan Prihatin di bawah pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin, manakala penjenamaan Malaysia Madani di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim pula sebanyak RM489,216.

Berdasarkan rekod kewangan Jabatan Perdana Menteri, penganjuran program berkaitan penjenamaan semula kerajaan iaitu Kerajaan Prihatin, Keluarga Malaysia dan Malaysia Madani membabitkan peruntukan yang telah dibelanjakan sehingga 30 Januari 2023 sebanyak RM62,764,107.25.

“Pecahan mengikut program adalah Kerajaan Prihatin dengan perbelanjaan RM181,752.20; Keluarga Malaysia, RM62,093,139.05 dan Malaysia Madani, RM489,216.

“Jumlah perbelanjaan berdasarkan program jelajah jerayawara yang dilaksanakan semasa pentadbiran Perdana Menteri kelapan hingga kini,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hasan (PH-Sri Gading) mengenai peruntukan dibelanjakan bagi penjenamaan kerajaan ketika pentadbiran Muhyiddin, Ismail Sabri dan Anwar.

Muhyiddin dilantik sebagai Perdana Menteri Kelapan pada 1 Mac 2020, manakala Anwar mengangkat sumpah Perdana Menteri Ke-10 pada 24 November 2022 dan melancarkan Malaysia Madani pada 19 Januari lalu.

Menurut Armizan, hanya satu program Kerajaan Prihatin dilaksanakan semasa pentadbiran Muhyiddin berikutan negara ketika itu dilanda pandemik COVID-19 yang menyaksikan beberapa siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Hanya satu program Kerajaan Prihatin dilaksanakan semasa pentadbiran Perdana Menteri Kelapan memandangkan negara berada dalam tempoh PKP,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI