KOTA BHARU – Remaja yang tinggal bersama keluarganya di sebuah rumah usang dan separuh roboh di Kampung Banggol di sini terus dikurniakan limpahan rezeki apabila dia diundang untuk menyanyi dalam sebuah lagu raya.
Wan Akid Afham Wan Mohd. Ruhsemadi, 13, diundang oleh komposer dan penyanyi terkenal, Eddie Hamid untuk tampil menjayakan lagu berjudul ‘Moleklah Raya’.
Eddie Hamid berkata, lagu tersebut akan dinyanyikan oleh remaja itu bersama Rosalinda dan penyampai radio Molek FM iaitu Fizie, Mek Zura dan Camelia.
Menurutnya, lagu itu merupakan ciptaannya sendiri manakala lirik ditulis oleh Harisz Ab. Rahman yang berkonsepkan sambutan Hari Raya Aidilfitri.
“Hasrat saya adalah untuk memberikan kegembiraan kepada Wan Akid sempena sambutan Syawal tidak lama lagi.
“Semua tahu keperitan hidup yang dialami oleh Wan Akid sebelum ini. Jadi, ini adalah salah satu usaha supaya dia dapat melupakan segala kesedihan yang dialami,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Terdahulu, video rakaman lagu raya melibatkan Akid tular menerusi aplikasi TikTok selepas dimuat naik oleh Eddie Hamid.
Eddie Hamid yang juga penyanyi terkenal era 90-an memberitahu, dia gembira remaja berkenaan dapat menyanyi dengan baik selepas diberikan tunjuk ajar. -KOSMO! ONLINE














