Kim Fu ( depan kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Klang hari ini

Pekerja spa didakwa abai, buang mayat bayi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Seorang pekerja spa didakwa di dua mahkamah berasingan hari ini atas tuduhan mengabaikan bayinya sendiri yang meminum susu sehingga sesak dan menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat di tempat pembuangan sampah, minggu lalu.

Tertuduh, Chong Kim Fu, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Noridah Adam dan Majistret P. Sarulatha.

Pada prosiding di hadapan Noridah di Mahkamah Sesyen, Kim Fu didakwa sebagai individu yang mempunyai pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki bernama Chong Yi Sing (tidak daftar kelahiran) telah mengabaikannya dengan cara memberi minum susu dan membiarkannya sehingga menyebabkan kanak-kanak itu sesak nafas.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Batu Tiga Lama antara pukul 3 petang hingga 8 malam pada 6 April lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 31 (1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda
tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya.

Manakala di hadapan Sarulatha, tertuduh didakwa menyembunyikan kelahiran secara rahsia dengan sengaja membuang mayat bayi yang dilahirkan seorang wanita warga asing yang mana bayi tersebut mati selepas dilahirkan.

Perbuatan itu dilakukan di tempat pembuangan sampah di kondominium sama pukul 4 pagi, 7 April lalu.

Tertuduh boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Abd. Raoff dan Nuruljannah Aimi manakala tertuduh diwakili Peguam Lau Yih Ying.

Mahkamah kemudiannya menetapkan jaminan keseluruhan RM14,000 bersama penjamin serta melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan tidak menganggu saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 30 Mei depan di dua mahkamah tersebut.

Kosmo! sebelum ini melaporkan sepasang kekasih ditahan susulan penemuan mayat bayi lelaki berusia empat bulan di tempat pembuangan sampah sebuah kondominium di Bandar Baru Klang pada 7 April lalu. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN