fbpx

Kempen Bangkit SME sedia dana RM100 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PKS memerlukan dana untuk memulihkan aliran kewangan dan kembali aktif berniaga. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Commerze Capital Sdn. Bhd. (Commerze Capital) menyediakan peruntukan sehingga RM100 juta untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kembali aktif dalam perniagaan masing-ma­sing.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Shahrom Latiff berkata, dana yang disediakan di bawah Kempen Bangkit SME yang baru bermula 1 April lalu telah menyediakan dua kemudahan kewangan seperti pemfaktoran (pem­biayaan invois) dan khidmat nasihat kewangan.

Menurut beliau, kempen yang berlangsung selama tiga bulan itu adalah satu inisiatif Commerze Capital membantu PKS memulih dan melancarkan aliran tunai perniagaan serta mengembangkan perniagaan mereka secara mampan.

“Kempen ini direka khusus untuk pembekal, vendor dan kontraktor kepada kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat tersenarai di Bursa Malaysia,” katanya dalam kenya­taan.

Mengulas lanjut, Shahrom berkata, kemudahan seperti pemfaktoran dilihat mampu me­lancarkan aliran tunai dengan pembiayaan berkonsepkan sedemikian telah digunakan secara meluas pada 1950-an di negara Barat dan diterima pakai oleh institusi kewangan seperti bank serta syarikat pemfaktoran yang berlesen di Malaysia.

“Pemfaktoran juga dikenali sebagai pembiayaan invois yang mana ia adalah antara satu mekanisme pembiayaan khususnya kepada perniagaan yang menjual produk atau perkhidmatan mereka secara kredit.

“Bagi perniagaan yang menjual secara kredit, mereka boleh menggunakan keberhutangan pelanggan mereka untuk mendapatkan pendahuluan tunai daripada kemudahan pemfaktoran sementara menunggu bayaran dari pelanggan,” jelasnya.

Tambah Shahrom, sasaran utama untuk kempen ini adalah perniagaan PKS yang berteraskan kontrak yang mana invois yang masih belum dibayar oleh pelanggan perniagaan boleh dijadikan cagaran untuk pem­biayaan.

Jelasnya, kemudahan pemfaktoran oleh syarikat ini 100 peratus patuh syariah dengan menggunakan struktur syariah Tawarruq dan Hawalah (pertukaran hutang untuk komoditi),” terangnya.

Bagi khidmat nasihat kewangan pula, Shahrom menjelaskan, konsep itu menyediakan per­khidmatan perundingan bagi membantu PKS mendapatkan suntikan modal tambahan menerusi pembiayaan daripada institusi kewangan seperti bank ko­mersial atau bank milik kerajaan.

“Menerusi khidmat nasihat kewangan ini, PKS akan diberikan tunjuk ajar dan bimbingan dalam aspek permohonan serta diberi akses kepada pembiayaan perniagaan,” katanya.

Commerze Capital adalah syarikat kewangan milik bumiputera yang telah beroperasi sejak 2007 selepas mendapat kelulusan daripada Bank Negara Malaysia untuk menjalankan perkhidmatan kewangan seperti pemfaktoran, pajakan dan kredit bangunan.

Syarikat itu diberi kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk memfaktorkan invois bagi kontrak yang dikeluarkan kerajaan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI