PASIR PUTEH – Peniaga di Pasar Tok Bali di sini mendakwa perbuatan warga asing memakan kucing bukanlah perkara asing kerana kebanyakan mereka memasak haiwan itu untuk dijadikan sup atau gulai ketika berada di atas bot sejak bertahun lamanya.
Penduduk mendakwa, warga asing bekerja sebagai nelayan itu gemar menangkap kucing jalanan yang dibuang di sekitar pasar berkenaan untuk dijadikan lauk di atas bot.
Penjual ikan, Zakuan Ismail, 35, berkata, bimbang dengan perbuatan kejam itu, satu notis melarang orang ramai membuang kucing belaan telah dipasang di sekitar pasar.
“Pasar ini menjadi tumpuan nelayan asing tangkap dan masak kucing untuk dimakan. Mereka tahu pasar tempat orang buang kucing dan tanpa rasa bersalah mereka kutip untuk dimasak.
“Kami hairan mengapa nelayan makan kucing, kerana mereka boleh saja makan ikan dan hasil laut lain di atas bot. Bagi mengekang kejadian itu, kami berpesan kepada penduduk supaya jangan buang kucing di pasar,” katanya kepada Kosmo!.
Semalam Kosmo! Ahad melaporkan, kehilangan kucing dalam kuantiti yang banyak telah menimbulkan tanda tanya dan keresahan dalam kalangan penduduk dan peniaga Pasar Besar Temerloh, Pahang yang mengesyaki haiwan itu kini jadi hidangan oleh warga asing.
Peniaga mendakwa pernah terserempak dengan beberapa warga asing yang menangkap sebelum memukul kepala haiwan tersebut dengan kayu lalu dimasukkan ke dalam guni dan dibawa ke lokasi tertentu untuk dilapah serta dimakan.
Lebih menguatkan dakwaan apabila sebahagian makanan untuk kucing terbiar langsung tidak diusik.
Seorang lagi peniaga yang dikenali sebagai Ahmad, 44, berkata, ratusan kucing yang ada di pasar itu mula berkurangan sejak akhir-akhir ini.
“Ada suku kaum warga asing yang gemar makan haiwan sebegini termasuk biawak dan anjing. Ia sudah diketahui umum dan kami berharap supaya pemilik lebih bertanggungjawab untuk tidak membuang haiwan itu di pasar,” katanya.
Menurut Ahmad, ada kemungkinan kucing itu dipukul di kepala atau ditangkap dan dibunuh sebelum kulitnya dilapah untuk juadah nelayan ketika berada di atas bot.














