fbpx
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah menunjukkan ayam sabung yang dirampas

Ayam sabung seludup RM10,000 seekor di Indonesia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LANGKAWI – Harga ayam sabung Siam yang amat tinggi di Indonesia iaitu hampir RM10,000 seekor, manakala burung Murai Batu, RM4,000 seekor menyebabkan sindiket antarabangsa sanggup meredah lautan menggunakan perairan negara ini.

Sindiket terbabit licik apabila menjadikan Langkawi sebagai transit kegiatan haram mereka sebelum ratusan ekor ayam sabung dan burung Murai Batu bernilai lebih RM1 juta dari Thailand itu dibawa ke Indonesia.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd. Zawawi Abdullah berkata, kegiatan penyeludupan ayam sabung dan burung Murai Batu semakin rancak berikutan permintaan tinggi daripada negara jiran.

“Modus operandi sindiket ini dengan menjadikan Malaysia sebagai negara transit kepada pelbagai spesies haiwan serta tumbuhan untuk diseludup keluar.

“Kedudukan geografi Pulau Langkawi yang strategik antara dua-dua negara (Thailand dan Indonesia) menjadi faktor utama kegiatan ini berlaku.

“Kebiasaannya aktiviti ini dilakukan pada waktu malam bagi mengelak kegiatan mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Kata beliau, pihaknya percaya sindiket terbabit tidak melibatkan rakyat tempatan, namun Maritim Malaysia (APMM) tetap akan melakukan siasatan lebih lanjut.

Menurutnya, kemerduan ­suara burung Murai Batu dari Thailand dikatakan sukar ditan­dingi dan menyebabkan hidupan liar itu terus diseludup secara besar-besaran ke negara jiran berikutan permintaan tinggi dalam kalangan penggemar burung.

Menurutnya, selain itu, spe­sies haiwan yang diseludup juga sukar ditandingi kerana mempunyai ciri-ciri fizikal menarik se­perti warna yang unik, ekor panjang dan taji runcing, sekali gus memberi impak pasaran kepada permintaan dari negara jiran tersebut.

“Adalah menjadi kelaziman dan kebanggaan kepada masyarakat di negara jiran untuk memiliki haiwan tersebut selain ia digunakan bagi tujuan pertandingan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, APMM Kedah dan Perlis berjaya membuat dua tangkapan penyeludupan ayam sabung dan Murai Batu di perairan Langkawi pada 7 Mac dan 26 April tahun lalu.

“Dalam kes pertama, kita merampas 20 kotak berisi ayam sabung bernilai RM200,000 serta 40 bungkusan anak pokok pelbagai jenis dengan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot dan enjin dianggarkan RM250,000.

“Bagi kes kedua pula ia melibatkan rampasan sebanyak 71 ekor ayam sabung dan 40 ekor burung Murai Batu bernilai RM870,000. Nilai keseluruhan rampasan termasuk barangan lain iaitu pokok kaktus, petrol, bot dan enjin adalah RM1.02 juta,” ujarnya.

Menurutnya, seramai tujuh suspek lelaki warga Indonesia berusia antara 32 hingga 50 tahun berjaya ditahan dalam dua tangkapan tersebut.

Katanya, tangkapan pertama dilakukan di kedudukan 2.6 batu nautika barat laut Tanjung Chincin, manakala tangkapan kedua pula di kedudukan 2.1 batu nautika barat laut Pulau Anak Datai di sini.

“Kedua-dua lokasi tangkapan tersebut terletak di sebelah ­utara Pulau Langkawi yang mana ia juga merupakan jarak paling hampir dengan sempadan negara jiran iaitu Pulau Tarutao, Thailand,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN