PETALING JAYA – Pernah hilang rasa untuk melancong biarpun pintu sempadan telah dibuka, pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha mengakui Tanah Suci Mekah membuka pintu hatinya untuk kembali ‘terbang’ ke luar negara seperti yang sering dilakukan sebelum ini.
Bukan untuk bercuti, Daiyan atau nama sebenarnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, sebaliknya selamat berlepas ke Mekah bagi menunaikan ibadah umrah.
“Mereka yang dah lama ‘follow’ saya selama bertahun barangkali tahu yang saya suka berada di bandar berbeza setiap minggu, menaiki penerbangan selalu waktu pra-Covid.
“Saya akan berada di New York atau Los Angeles lima enam kali dalam setahun. Saya akan berdepan tekanan darah rendah di Marrakech (Maghribi) disebabkan semua pengembaraan tersebut.
“Saya akan berada di Seoul seminggu dan minggu berikutnya di Tokyo. Saya akan berada di luar negara lebih kerap berbanding dalam Malaysia. Menggembara merupakan perkara yang memang sangat saya tunggu pada ketika itu,” kata pelakon drama rantaian, Projek: Anchor SPM.
Ujarnya, biarpun sempadan antarabangsa sudah dibuka, masih ada sesuatu yang belum lengkap dalam jiwanya secara peribadi dan rupa-rupanya, perkara tersebut adalah melibatkan hubungan rohani dengan agama.
“Apabila sempadan dan dibuka semula dan peluang mengembara negara luar hadir — saya rasa macam belum bersedia. Ada sesuatu yang menghalang.
“Sama ada saya terlalu sibuk atau belum punya kelapangan untuk merancang dan apa yang penting, saya tak rasa nak keluar mengembara macam sebelum ini.
“Ada perasaan dalam jiwa yang menginginkan sesuatu yang istimewa dan berbaloi untuk ‘tarik’ saya keluar dari sini.
“Dan, rupa-rupanya inilah, Tanah Suci. Tempat paling indah untuk dilawati. Saya patut dah tahu, tempat yang saya tak pergi, tetapi rasa rindu saya sangat kuat kepadanya. Saya tak pernah teringin nak pergi satu tempat macam saya rasa nak pergi tempat ini (Tanah Suci),” luah Daiyan.
Daiyan memanjatkan rasa syukur dalam hantaran status sama kerana Allah akhirnya membuka hatinya dan menerima diri sebagai tetamu pada bulan yang mulia iaitu Ramadan.
“Ya Allah ya Tuhanku, terima kasih kerana menerimaku sebagai tetamu-Mu dalam bulan yang mulia ini.
“Terima kasih kerana menjemput pada waktu saya sangat-sangat memerlukan-Mu. Rasa macam saya dah lama tunggu momen ini untuk hadir sebagaimana saya rasa macam Engkau (Allah) menunggu diriku,” katanya.
Semalam tadi, buat pertama kali, pelakon dan penyanyi jelita itu menjejakkan kaki ke Tanah Suci Mekah demi mengerjakan umrah pada bulan Ramadan.
Lebih bermakna, wanita berusia 29 tahun itu dapat ke destinasi tumpuan umat Islam tersebut bersama-sama keluarga tersayang iaitu ibu bapa dan seorang adik lelaki.
“Assalamualaikum semua. Saya akan mengerjakan umah bersama keluarga. Saya dengan rasa rendah hati mengharapkan doa kalian agar umrah kami selamat, sempurna dan mabrur. Selamat pergi dan selamat pulang.
“Saya juga nak mohon kemaafan kalau ada salah silap. Semoga semua sentiasa dalam lindungan-Nya dan semoga doa kalian dimakbulkan juga, insya-Allah,” coretnya menerusi satu hantaran terbaharu dalam Instagram. – KOSMO! ONLINE