fbpx

Sindiket penipuan guna laman TikTok cari mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tiga suspek diberkas ketika serbuan pihak polis di sebuah kondominium di Jalan Cendana Kampung Baru semalam.

KUALA LUMPUR – Taktik sindiket penipuan dalam talian (calling centre) yang menyasarkan kenalan di aplikasi TikTok sebagai mangsa akhirnya terbongkar dengan penahanan tiga lelaki tempatan di sebuah kondominium di Jalan Cendana Kampung Baru, dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, bertindak atas maklumat berkaitan penipuan dalam talian, pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) daerah bersama anggota Ronda Cegah Jenayah (CPJ) Balai Dang Wangi telah membuat serbuan pada pukul 2.50 petang.

“Hasil serbuan telah berjaya memberkas tiga lelaki tempatan berumur lingkungan 19 hingga 23 tahun.

“Pihak polis turut merampas 26 unit perkakas dan peralatan penipuan dalam talian melibatkan tiga unit komputer riba pelbagai jenama, 21 unit telefon, satu unit modem, satu unit monitor komputer berserta papan kekunci dan tetikus,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kegiatan itu telah beroperasi selama sebulan yang menyasarkan rakyat negara ini dan juga warga asing di luar negara.

“Kesemua tangkapan berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan yang mana mereka mendapatkan mangsa melalui aplikasi TikTok untuk menambah kenalan.

“Mereka kemudiannya mewujudkan kumpulan sebelum menyerahkan senarai rakan TikTok tersebut kepada satu kumpulan sindiket yang lain bagi tujuan penipuan secara dalam talian,” ujarnya.

Katanya, kesemua tangkapan telah direman selama tiga hari mulai hari ini sehingga 12 April bagi membantu siasatan dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI