fbpx

Algoritma baharu mampu kesan kemurungan pengguna Twitter

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEPASUKAN penyelidik mendedahkan cara terbaharu mengesan pengguna yang tertekan di Twitter. - Getty

LONDON – Sepasukan penyelidik mendakwa bahawa satu siri algoritma baharu mampu mengesan kemurungan yang dialami oleh pengguna laman Twitter dengan ketepatan sehingga 90 peratus, lapor akhbar Metro UK. 

Menerusi penyelidikan yang diterbitkan dalam jurnal IEEE Transactions on Affective Computing itu, pasukan penyelidik dari Universiti Brunel dan Universiti Leicester telah menganalisis 38 ‘titik data’ khas daripada beribu-ribu profil Twitter yang berbeza.

Ia termasuk jenis kandungan-kandungan tertentu berkaitan bila sesuatu ciapan dihantar dan kepada siapa ia ditujukan.

Algoritma itu dilatih menggunakan dua pangkalan data yang tersedia secara umum yang mengandungi sejarah akaun Twitter beribu-ribu pengguna bersama dengan maklumat tentang kesihatan mental mereka.

Satu daripadanya telah disusun oleh Universiti Johns Hopkins yang terkenal di Amerika Syarikat (AS) pada 2015.

Sehingga 80 peratus daripada maklumat dalam setiap pangkalan data digunakan untuk mengajar bot dan 20 peratus lagi untuk menguji ketepatannya.

“Kami menguji algoritma pada dua pangkalan data yang besar dan menanda aras keputusan kami terhadap teknik pengesanan kemurungan yang lain.

“Dalam setiap kes, kami telah berjaya mengatasi teknik sedia ada dalam ketepatan pengelasan,’’ kata Pengarah Institut Niaga Hadapan Digital Brunel, Profesor Abdul Sadka.

Pasukan itu mengatakan bahawa sistem berkenaan berpotensi mendedahkan kemurungan pengguna sebelum mereka menyiarkan sesuatu ke domain awam. Ini bermakna platform seperti Twitter dan Facebook boleh secara proaktif membentangkan kebimbangan kesihatan mental pengguna. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI