PETALING JAYA – Apabila tibanya bulan Ramadan dan menjelang perayaan, dentuman mercun akan kedengaran di setiap pelusuk kampung mahupu di bandar.
Jika tindakan itu tidak menganggu kawasan kejiranan ia boleh dimaafkan, namun ada segelintir individu cuba membuat kacau dengan sengaja membaling mercun ke arah kediaman orang lain seperti yang tular di laman Facebook semalam.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Aku Budak Kluang, tindakan ‘nakal’ dua remaja berkenaan berjaya dirakam televisyen litar tertutup (CCTV) di kediaman mangsa.
Menerusi rakaman berdurasi 59 saat itu, kelihatan dua remaja sengaja membaling mercun ke arah kediaman tersebut sebelum melarikan diri.
Berdasarkan maklumat yang dikongsi Aku Budak Kluang, kejadian tersebut berlaku di sebuah taman perumahan di Jalan Sawi, Yap Tau Sah, Kluang, Johor kira-kira pukul 10.52 malam kelmarin.
Katanya, kejadian tersebut sudah beberapa kali berlaku sehingga tuan rumah terpaksa memasang CCTV untuk merakam bukti.
“Adik-adik ini amaran terakhir dari tuan rumah, jika mereka masih diganggu, mereka akan buat laporan polis,”tulis Aku Budak Kluang di laman Facebook hari ini.
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna mengecam tindakan remaja terbabit dan mahu pihak berkuasa mengambil tindakan segera sebelum perkara lebih buruk berlaku.
“Lapor polis je, nanti berlarutan, nampak gaya macam budak-budak tu berdendam, sebelum dibaling yang lebih bahaya,”tulis Azmir Osman.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Yasmin Bisri.
“Nak main, main la tapi kenapa sampai baling kt rumah orang, kalau aku pun menyirap,” katanya.-KOSMO! ONLINE














