SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai keputusan dibuat oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI).
Ia berikutan perkara itu berada di bawah bidang Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah berkenaan dan Majlis Raja-Raja.
Baginda yang juga Pengerusi MKI bertitah, Jakim hanya bertindak sebagai urusetia kepada Jawatankuasa Muzakarah dan MKI.
Sehubungan itu, titah Sultan Sharafuddin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Timbalannya tidak boleh mengeluarkan apa-apa kenyataan yang diputuskan Jawatankuasa Muzakarah.
“Sebaliknya, hanya Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah yang boleh menyembah maklum kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan.
“Setelah mendapat perkenan Majlis Raja-Raja, pelaksanaan keputusan muzakarah diserahkan kepada pertimbangan dan keputusan pihak berkuasa Agama Islam setiap negeri,” titah baginda menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Alam Shah. -KOSMO! ONLINE
















