fbpx

Periksa mental cikgu tadika, taska elak kes dera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
SHARKAWI LONDING
WAKIL KOSMO! JOHOR

ISU penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak di Malaysia bukanlah satu perkara yang baharu, malah jenayah ini sudah berlaku sejak sekian lama.

Laporan kajian yang dijalankan sekumpulan pensyarah dan pelajar Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) mendapati statistik kes pende­raan saban tahun menunjukkan peningkatan.

Setiap tahun, kes yang dilaporkan mencatatkan jumlah melebih 3,000 kes dan dapatan kajian itu memberi gambaran bahawa kes penderaan terhadap kanak-kanak di negara ini membimbangkan.

Merujuk kepada kes terbaharu berlaku di Muar, Johor, seorang guru tadika wanita ditahan kerana disyaki mendera empat kanak-kanak di sebuah tadika swasta pada 1 April lalu.

Suspek berusia lewat 50-an itu ditahan selepas menyerah diri di balai polis.

Kejadian disedari salah seorang ibu mangsa selepas me­nerima rakaman video anaknya didera. Guru wanita itu didakwa bertindak mengasari empat kanak-kanak lelaki berusia tiga hingga lima tahun.

Mengapa kes dera masih berlaku meskipun pelbagai usaha yang dilakukan termasuk langkah kesedaran terhadap isu ini?

Hasil analisis KUIS mendapati ada empat jenis klasifikasi pen­deraan meliputi fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.

Kajian juga mendapati faktor tertinggi penderaan kanak-kanak adalah berpunca daripada perbalahan keluarga, ibu mengikut teman lelaki, masalah kewangan serta kecuaian ibu bapa, namun sejak akhir-akhir ini, kes dera dilaporkan kerap berlaku di pusat asuhan, tadika serta taska.

Pengarah Pusat Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia, Dr. Zulfikar Ahmad berkata, antara punca utama berlakunya kes penderaan di pusat berkenaan adalah sebab tekanan persekitaran dan peribadi tenaga pengajar.

“Kita perlu faham kanak-kanak dalam proses tumbesaran menunjukkan pelbagai reaksi yang pelbagai.

“Punca berlakunya kes penderaan adalah kerana tenaga pengajar tidak mampu menahan emosi dan menguruskan tekanan dengan baik. Mungkin mereka ada masalah peribadi dan apabila pergi ke tempat kerja ditambah dengan persekitaran bi­sing, kanak-kanak me­ragam jadi mereka tidak dapat menyerap tekanan yang dihadapi,” katanya.

Menurut beliau, pengusaha atau pengendali pusat asuhan perlu sentiasa memantau ke­a­daan psikologi tenaga pengajar sebagai salah satu langkah menga­tasi masalah kes pende­raan terhadap kanak-kanak.

Sementara itu, Pegawai Psikologi Kanan, Bahagian Perkhidmatan Sumber Manusia, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia, Siti Fatimah Abdul Ghani berpendapat, guru tadika atau taska perlu menjalani ujian psikologi secara berkala bagi menentukan tahap kesihatan mental dan emosi mereka berada dalam keadaan siap siaga serta terbaik.

“Dalam konteks pendidikan psikologi, hukuman dan ganjaran merupakan satu elemen yang perlu diterapkan kepada kakita­ngan sesebuah institusi.

“Sebagai contoh, sekiranya ada kesalahan yang dilakukan staf mereka perlu dihukum de­ngan cara profesional dan perlu ada ganjaran seperti menganjurkan hari keluarga.

“Keadaan ini dapat me­nyerap tekanan kerja dan masalah peribadi mereka,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI