fbpx

Bekas eksekutif didenda RM8,000 tidak lapor rasuah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Jazid (tengah) ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Shah Alam. /FOTO ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Tindakan seorang bekas eksekutif Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Klang tidak melaporkan rasuah RM5,000 bagi kerja pembekalan baja pada tujuh tahun lalu berbalas apabila didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhi hukuman itu kepada Mohd. Jazid Md. Jani, 52, yang mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan.

Sekiranya gagal bayar denda itu, Mohd. Jazid diperintahkan penjara enam bulan.

Rozilah dalam penghakimannya memaklumkan agar pengakuan salah tersebut akan menimbulkan insaf dan tidak mengulangi kesalahan sama.

“Harap muhasabah diri, itu (perbuatan) tetap kesalahan walaupun insiden pada 2015. Ingat, rasuah ini jenayah akhir zaman,” jelasnya.

Berdasarkan pertuduhan, bapa tunggal tiga orang itu didakwa tidak melaporkan pemberian suapan dalam bentuk cek bernilai RM5,000 daripada seorang lelaki berusia 55 tahun yang kemudian tertuduh telah menunaikan cek berkenaan.

Ini bagi membantu sebuah syarikat mendapatkan kerja-kerja pembekalan baja cecair organik sebanyak 5,000 liter bagi input pertanian PPK Klang bernilai RM143,100 dengan kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Bukit Sentosa, Rawang pada 21 Julai 2015.

Terdahulu, Mohd. Jazid yang tidak diwakili peguam merayu hukuman diringankan susulan perlu menjaga seorang ibu berusia 80 tahun dan tiga anak.

“Isteri saya telah meninggal dunia akibat penyakit buah pinggang pada 2020. Saya juga baru bekerja sebagai pembantu pejabat dua bulan lalu serta telah taubat dan insaf,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI