KILANG pemasangan Porsche di Kulim ini dikendalikan sepenuhnya oleh sepasukan pekerja berkemahiran tinggi tempatan.

Kilang kereta mewah Kulim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEKITAR Mac tahun lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ada mengumumkan bahawa Malaysia bakal menerima pelaburan daripada sebuah syarikat asing untuk pengeluaran kereta mewah dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, pengumuman tersebut ditinggalkan bersama ‘teka-teki’ apabila Mohamed Azmin tidak mengumumkan nama syarikat itu walaupun syarikat berkenaan telah bersetuju membuka kilang pertamanya di luar negara iaitu Malaysia.

“Ini adalah mengenai kejuruteraan tepat, maknanya pembuat kereta antara yang termahal di dunia akan berada di Malaysia,” ungkapnya pada satu majlis di Shah Alam, Selangor pada masa itu.

Baru-baru ini segalanya semakin terang lagi bersuluh apabila syarikat jenama kereta sport terkemuka dunia dari Jerman, Porsche melancarkan kilang pemasangan tempatannya di Kulim, Kedah.

Kini, industri automatif negara telah mencipta satu mercu tanda penting apabila Kulim menjadi lokasi kilang pemasangan tempatan pertama Porsche di luar Eropah. Porsche, satu jenama yang sering dikaitkan dengan nilai eksklusif dan kemewahan.

Melalui kerjasama di antara Sime Darby Berhad (Sime Darby) dan Porsche AG (Porsche), operasi pemasangan tempatan (CKD) bagi model Cayenne yang dipasang di dalam negara untuk pasaran domestik telah berjaya direalisasikan.

KILANG pemasangan tempatan ini turut dilengkapi seni rekaan berteraskan ciri kelestarian tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Arham Abdul Rahman melihat perluasan operasi syarikat automobil global di Kulim menunjukkan komitmen dan kepercayaan kukuh Porsche terhadap ekosistem perniagaan Malaysia, terutama dalam menghasilkan alat ganti dan peranti pengeluaran peralatan tulen (OEM).

“Kerajaan akan berusaha untuk membina persekitaran kondusif untuk peneraju industri asing dan tempatan menjalankan perniagaan di Malaysia.

“Ia adalah seiring kesediaan negara untuk menyediakan peluang pekerjaan jangka masa panjang dan berhubung dengan rakan kongsi teknologi yang berkebolehan serta untuk mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan kompetitif dan menguntungkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sime Darby, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata, momen pelancaran kilang pemasangan tempatan pertama Porsche di luar Eropah itu wajar disifatkan sebagai satu peristiwa penting buat Malaysia.

“Selain Stuttgart dan Leipzig di Jerman, kini Kulim menjadi lokasi kilang pemasangan Porsche,” katanya sewaktu majlis perasmian kilang pemasangan Porsche di Kulim hujung bulan lalu.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin.

Pihak media turut dijemput menyaksikan pelancaran bersejarah itu.

Kilang pemasangan tempatan itu juga memperlihatkan komitmen Porsche kepada Malaysia dan menunjukkan dedikasi Sime Darby dalam meluaskan keupayaan pemasangan kenderaan bernilai tinggi sebagai unsur kritikal untuk pertumbuhan perniagaan permotorannya.

“Kilang yang dikendalikan 100 peratus oleh rakyat Malaysia berkemahiran tinggi ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan perniagaan kami dalam rantaian nilai automotif di Malaysia, tetapi ia juga membuka pelbagai peluang pekerjaan yang sekali gus memperkasa masyarakat tempatan,” jelas Jeffri Salim.

seorang pekerja melekatkan lambang Porsche pada kenderaan.

Usaha sama ini juga dilihat memperhebat masa depan negara dengan mengembangkan potensi masyarakat dan tenaga kerja tempatan.

Model Cayenne yang dipandu pada sebelah kanan ini hanya akan dijual di pasaran tempatan. Harganya bermula RM550.000.

Sementara itu, Ahli Lembaga Eksekutif bagi Jualan dan Pemasaran Porsche AG, Detlev von Platen berkata, pihaknya telah mencapai mercu jaya baharu dengan pelancaran Cayenne pertama yang dipasang di dalam Malaysia dan memenuhi impian lebih ramai peminat Porsche di negara ini untuk memiliki kereta sport idaman.

“Strategi pengembangan kami menekankan kepentingan Malaysia bagi Porsche dalam usaha mengukuhkan kedudukan kami di ASEAN,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Lembaga Eksekutif bagi Pengeluaran dan Logistik Porsche, Albrecht Reimold berkata, kilang pemasangan baharu di Malaysia ini memenuhi keperluan khusus pasaran dan beroperasi seiring dengan rangkaian kilang pengeluaran Porsche yang sudah kukuh kedudukannya di Eropah.

“Secara khususnya, kilang ini memenuhi piawaian kualiti menyeluruh yang telah ditetapkan oleh Porsche bagi pemasangan kereta sport Porsche.

“Kilang ini dibina berlandaskan falsafah pengeluaran kami iaitu pintar, cekap dan hijau,” katanya.

Justeru itu, tambahnya, kilang pemasangan baharu itu bukan sahaja menjadi tanda aras kecekapan dan kualiti, tetapi juga dari segi kelestarian.

Bagi mencapai matlamat ini, kilang itu telah direka bentuk untuk memenuhi tahap piawaian kelestarian tinggi.

MODEL Cayenne jenama Porsche yang dipasang di Malaysia dikeluarkan berasaskan pemanduan sebelah kanan.

Di bahagian bumbungnya terdapat panel solar yang membekalkan semua tenaga diperlukan bagi proses pengeluaran, manakala bahagian bawah pula terdapat teknologi pengumpulan air hujan yang memastikan pembaziran air dikurangkan.

Jelasnya lanjut, kilang pemasangan tempatan itu dikendalikan sepasukan pekerja berkemahiran tinggi dianggotai oleh 100 peratus bakat Malaysia dan kesemuanya telah menerima latihan komprehensif daripada Porsche.

Selain itu, rangkaian pembekal dan penyedia perkhidmatan tempatan di kawasan tersebut turut menyokong operasi kilang itu, lantas memperkasa masa depan masyarakat tempatan dengan membuka peluang pekerjaan, meningkatkan kemahiran dan potensi untuk perkembangan selanjutnya.

Dalam pada itu, rentetan pelancaran kilang itu, Mohamed Azmin dalam kenyataan akhbar mengalu-alukan pengembangan Porsche di Malaysia dan menyatakan bahawa perkembangan ini sejajar dengan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020.

Menurutnya, NAP bertujuan memajukan Malaysia sebagai peneraju serantau dalam pembuatan automotif, kejuruteraan, teknologi dan pembangunan lestari.

“Keputusan Porsche dalam memilih Malaysia untuk kilang pemasangan pertamanya di luar Eropah mencerminkan keyakinan syarikat ini terhadap ekosistem Malaysia yang kondusif dan kekuatan kami dalam menyokong pertumbuhan jangka masa panjang mereka.

“Kilang pemasangan di Kulim ini juga menunjukkan keupayaan bakat tempatan negara ini iaitu golongan jurutera dan juruteknik berkemahiran tinggi dalam meluaskan jejak mereka di rantau ASEAN,” ulasnya.
Tambahnya, kerajaan melihat industri automotif sebagai sektor ekonomi strategik yang memainkan peranan dalam membuka pintu kepada peluang kejuruteraan ketepatan yang tidak terbatas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN