fbpx

Penganjur konsert dikompaun gagal patuhi SOP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman video berhubung pelanggaran SOP yang berlaku ketika konsert tersebut berlangsung. - Foto IHSAN POLIS KL

KUALA LUMPUR – Penganjur sebuah konsert yang diadakan baru-baru ini dikenakan kompaun selepas didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, pihaknya telah mengesan sebuah video berdurasi 16 saat di aplikasi TikTok semalam berhubung sebuah konsert yang diadakan tanpa mematuhi SOP PPN Fasa 4.

“Siasatan awal mendapati, konsert yang diadakan sempena acara festival makanan itu berlangsung selama tiga hari bermula 25 Mac hingga 27 Mac 2022 di Bukit Jalil.

“Satu laporan polis telah dibuat berhubung kejadian ini dan penganjur konsert telah dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kompaun tersebut dikenakan kepada penganjur kerana gagal memastikan penjarakan sosial satu meter seperti yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.

“Pihak Polis Cheras sentiasa menekankan kepentingan mematuhi SOP dalam apa jua acara dan tidak berkompromi sekiranya wujud pelanggaran SOP.

“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP, orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 5051, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI