fbpx
SEBAHAGIAN PATI yang berjaya ditahan PGA di kawasan paya bakau di Kapar, Klang.

PATI mula ramai masuk ikut jalan tikus pada fasa PPN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sejak Malaysia beralih ke fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), semakin ramai warga asing yang pernah bekerja di negara ini mula kembali ke sini melalui jalan tikus.

Menurut Komander Briged Tengah Pasukan Gerakan Am (PGA), Senior Asisten Komisioner Muhammad Abdul Halim, semakin ramai warga asing terutama pendatang asing tanpa izin (PATI) berjaya ditangkap.

Katanya, pada 2021, seramai 873 PATI ditahan berbanding 306 orang pada 2020.

“Daripada jumlah itu sebahagian besarnya adalah PATI dari Indonesia. Selain itu, ada yang datang dari Myammar, Bangladesh, Pakistan dan Sri Lanka, namun jumlahnya tak ramai iaitu tak sampai 50 orang,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Muhammad

Menurutnya, jika dilihat kepada nilai rampasan pula, sebanyak RM5.76 juta direkodkan pada tahun 2021 berbanding RM1.51 juta tahun sebelumnya membabitkan kenderaan, wang tunai, telefon bimbit, pukat, walkie-talkie dan lain-lain.

Ujarnya, kesemua PATI tersebut ditahan ketika memasuki negara ini melalui jalan tikus di dua lokasi popular di Selangor iaitu Sabak Bernam dan Klang.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan PATI memasuki negara ini dengan menumpang bot nelayan asing, namun kini mereka berubah modus operandi dengan menaiki bot laju melalui bantuan tekong warga asing.

“Dengan membuat bayaran antara RM1,200 hingga RM3,000 kepada tekong, mereka akan dibawa masuk ke negara ini ketika air pasang antara pukul 2 hingga 5 pagi. Harga setiap tekong tak sama, ada mahal dan ada yang murah,” ujarnya.

Jelas beliau, tekong akan memberhentikan bot dalam kawasan paya bakau dan mereka perlu mengharung air antara paras pinggang hingga dada untuk menuju ke kawasan daratan.

“Biasanya lokasi pendaratan terletak tidak jauh dari kediaman penduduk bagi mengelak kegiatan itu dikesan pihak berkuasa.

“Mereka biasanya akan menjadikan kediaman penduduk setempat sebagai lokasi persembunyian sementara menunggu waktu siang dan selamat untuk beredar keluar. Di situlah mereka akan membersihkan diri, menukar pakaian, berehat, tidur dan juga makan.

“Sebaik tiba waktu siang, akan ada kenderaan yang mengambil mereka dari rumah tersebut untuk dibawa ke destinasi yang dikehendaki. Biasanya mereka terdiri daripada kenalan dan juga rakan-rakan,” katanya.

Ujar Muhammad, berdasarkan hasil soal siasat terhadap PATI yang ditahan, kebanyakan mereka mengaku memang mengenali pemilik rumah yang ditumpang setiap kali memasuki negara ini dan juga pemilik kenderaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN