fbpx

England catat 3.5 juta kes Covid-19 seminggu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar menunjukkan kit ujian kendiri Covid-19 Antigen yang tidak lagi diberi secara percuma kepada penduduk Britain bermula 1 April ini. - AFP

LONDON – Bilangan pesakit Covid-19 di England bertambah sejuta orang dalam masa hanya seminggu, menjadikan kes keseluruhan sebanyak 3.5 juta sekali gus angka kedua tertinggi sejak pandemik bermula dua tahun lalu, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.

Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) menganggarkan bahawa 3.48 juta orang telah dijangkiti koronavirus dalam tempoh seminggu berakhir pada 19 Mac lalu, meningkat sebanyak  31 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Pada masa yang sama, jangkitan semakin meningkat di seluruh Britain termasuk Scotland. Diianggarkan satu daripada setiap 11 warga Scotland  telah dijangkiti Covid-19 sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Kemasukan ke hospital juga berada pada rekod tertinggi di Scotland, manakala di England, kemasukan ke hospital menunjukkan tren peningkatan.

Susulan perkembangan tersebut, penasihat-penasihat kesihatan meminta Perdana Menteri, Boris Johnson agar menarik balik penamatan ujian calitan percuma yang akan berkuatkuasa pada 1 April ini.

Pada masa yang sama, pihak berkuasa juga menyeru orang ramai supaya kembali memakai pelitup muka ketika berada di kawasan tertutup dan tempat awam.

Anggota Kumpulan Penasihat Saintifik untuk Kecemasan (SAGE),  Profesor Matt Keeling berkata, penarikan ujian saringan percuma mulai 1 April ini akan melenyapkan  keupayaan orang ramai untuk menilai dan bertindak balas terhadap risiko jangkitan.

“Ujian menggunakan kit antigen tidak mahal, malah boleh menjimatkan kos jika ia membantu menghalang kemasukan hospital.

“Penarikan pemberian kit percuma akan memberi perspektif kepada orang ramai bahawa Covid-19 sudah reda sedangkan kes masih tinggi,” kata Keeling.

Ketua Penasihat Perubata  Agensi Keselamatan Kesihatan Britain, Dr. Susan Hopkins pula  menyeru rakyat Britain memakai pelitup muka di ruang tertutup dan ketika keluar bersosial.

Menurut pakar-pakar kesihatan, keputusan kerajaan memansuhkan semua sekatan Covid-19 termasuk keperluan untuk menjalani kuarantin selepas diuji positif di England akan menjadi punca penularan besar-besaran virus Covid-19 yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Keadaan dijangka lebih buruk disebabkan jangkitan BA.2 yang mempunyai kadar penyebaran lebih tinggi berbanding varial asal Omicron. Senario tersebut dibimbangi mencetuskan  gelombang baharu koronavirus di Britain.

Hopkins berkata,  angka terkini yang direkodkan menjadi peringatan kepada kita semua bahawa wabak Covid-19 belum berakhir.

“Memakai pelitup muka di tempat yang sesak atau tertutup, ketika keluar bersosial dan sentiasa menjaga kebersihan tangan akan membantu mengurangkan penularan Covid-19.

“Sesiapa yang mempunyai simptom atau positif ujian Covid-19  perlu mengehadkan kontak dengan orang lain sebanyak mungkin”, tegasnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI