fbpx

KeTSA komited pelihara kawasan hutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) komited untuk memelihara dan memulihara kawasan hutan serta biodiversiti dengan kerjasama rapat daripada kerajaan negeri dan pemegang taruh lain menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif dan projek.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, selain Central Forest Spine (CFS), KeTSA terlibat dalam inisiatif Heart of Borneo, Projek Restorasi, Tebus Guna dan Pemulihan Kawasan Hutan Terosot dan Projek Penanaman Pokok Bakau.

“Hari Hutan Antarabangsa disambut pada 21 Mac setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan hutan serta pemeliharaan dan pemuliharaannya.

“Tema sambutan pada tahun ini ialah ‘Hutan untuk Kesejahteraan Masyarakat’,. Besar harapan saya agar kita semua sebagai satu Keluarga Malaysia dapat menunjukkan keprihatinan serta komitmen jitu untuk bersama-sama menyemarakkan semangat menyayangi, melindungi dan memelihara khazanah hutan negara,” katanya di sini hari ini.

Takiyuddin berkata, menyedari kepentingan memelihara dan menguruskan khazanah hutan secara berkekalan sebagai agenda utama dalam kehidupan seharian, KeTSA telah membentangkan Rang Undang-undang (RUU) Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 untuk bacaan kali yang pertama di Dewan Rakyat pada 3 Mac 2022.

“Perundangan ini telah mengambil masa hampir 13 tahun untuk dimuktamadkan dan akhirnya dapat dibawa ke Parlimen.

RUU ini dijangka akan dibentangkan untuk bacaan kali yang kedua pada sesi Parlimen pada Julai 2022.

“Saya berharap dengan lulusnya RUU ini, perundangan perhutanan negara akan menjadi lebih mantap dan semua kerajaan negeri menerima pindaan RUU ini melalui Enakmen Pemakaian masing-masing agar pelaksanaannya dapat disegerakan,” ujarnya.

Tambahnya, kerajaan Persekutuan juga telah menyediakan insentif kewangan iaitu Ecological Fiscal Transfer (EFT) for Biodiversity Conservation bagi membantu kerajaan negeri mengambil tindakan yang lebih proaktif dalam memelihara dan memulihara kepelbagaian biologi dan kawasan perlindungan.

“Selain itu, kerajaan negeri digalakkan untuk memohon geran di bawah Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli (NCTF) bagi merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dan konservasi di negeri masing-masing.

“Satu lagi bentuk insentif kepada kerajaan negeri adalah melalui Kerangka Kewangan REDD Plus (REDD Plus Finance Framework – RFF) yang sedang dibangunkan oleh KeTSA,” tambahnya.

Jelasnya, RFF akan meningkatkan kerjasama antara pihak swasta dan kerajaan negeri dalam menyalurkan dana kepada aktiviti pemeliharaan dan pengurusan hutan.

Pelaksanaan mekanisme REDD Plus juga akan menjadi insentif kewangan tambahan kepada kerajaan negeri bagi memelihara, melindung serta mengurus sumber hutan secara berkekalan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI