fbpx

PR1MA rancang tambah rumah mampu milik di Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PR1MA merupakan kediaman mampu milik dan berkualiti tinggi dengan konsep kehidupan moden untuk rakyat Malaysia. – GAMBAR HIASAN

KANGAR – Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) merancang untuk menambah lebih banyak rumah mampu milik di negeri ini selaras dengan sasaran untuk menyediakan 100,000 rumah kategori tersebut di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Pengerusinya, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, antara kawasan yang berpotensi bagi pembinaan bagi perumahan berkenaan ialah Kangar dan Kuala Perlis.

Kata beliau, PR1MA mempunyai sebidang tanah di Kuala Perlis berkeluasan 6.1 hektar manakala tanah di Kangar telah dikenal pasti dan masih dalam proses perbincangan.

“Pembangunan yang dirancang bakal memberi manfaat pada ratusan anak Perlis sama ada yang bekerja dan tinggal di negeri ini mahupun anak perantau.

“Projek dijamin akan berada dalam lingkungan mampu milik untuk penduduk negeri Perlis,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM) yang berlangsung di pekarangan Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra di sini selama tiga hari bermula hari ini.

Menurut Fathul Bari, sehingga kini, PR1MA mempunyai sebuah residensi iaitu Residensi Bandar Putra Height, dahulunya dikenali sebagai Residensi Padang Siding yang terdiri daripada 228 unit rumah telah siap dibina dan kini dalam proses serahan kunci.

“Bagi residensi ini, hampir 100 peratus telah terjual dan dilengkapi dengan fasiliti seperti dewan serbaguna, surau, tadika, taska, dan taman permainan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI